PETALING JAYA: Kerajaan dapat mengekalkan kestabilan dan memastikan mampu menangani krisis yang berlaku disebabkan sokongan utuh diberikan kesemua parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada kesemua parti-parti terlibat kerana tanpa komitmen dan sokongan yang diberikan itu kerajaan sudah tentu tidak dapat memberikan tumpuan penuh terutama dalam usaha menangani cabaran ekonomi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penghargaan itu dizahirkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas beliau menyentuh mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal ketika Konvensyen Pakatan Harapan (PH), Ahad lalu.
Katanya lagi, pendirian itu dinyatakan Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan komitmen mahu kekal bersama kerajaan sehingga akhir penggal agar kestabilan negara terus terpelihara.
Beliau berkata, komitmen tersebut juga sekali gus mencerminkan keutamaan parti-parti berkenaan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
“Disebabkan Perdana Menteri ada bercakap mengenai soal ini ketika Konvensyen PH pada Ahad lalu, beliau ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai perkara tersebut.
“Parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan hasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal. Komitmen itu diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya semasa sidang akhbar mingguan Jurucakap Kerajaan Madani semalam.
Menteri Komunikasi itu berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu pilihan raya umum lebih awal turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Sementara itu, Fahmi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai persiapan sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula pada 22 Jun ini.
Perkara itu susulan tindakan dua bekas Ahli Parlimen kerajaan iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.
“Cuma ada dimaklumkan mengenai persiapan untuk sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Jun, di mana dua bekas Ahli Parlimen itu telah mengosongkan kerusi mereka. Itu yang dimaklumkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menekankan keperluan memastikan perbelanjaan awam dilaksanakan secara lebih berhemah dan berfokus.
Pendekatan itu, menurut Fahmi dapat dilihat melalui penganjuran beberapa acara rasmi kerajaan termasuk sambutan Hari Belia dan Hari Guru yang dilaksanakan secara lebih sederhana, tahun ini.
Katanya, langkah penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi setiap kementerian juga mula menunjukkan hasil positif tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program kementerian.
“Keutamaan terus diberikan kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan khususnya dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengadakan taklimat khusus kepada media berhubung cadangan sekatan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.
Beliau berkata, taklimat itu bagi membolehkan persoalan khusus termasuk aspek teknikal berhubung pelaksanaan cadangan tersebut dijawab dengan lebih terperinci.
Katanya, daripada segi dasar, penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad bagi tujuan pengesahan umur bukan perkara baharu kerana ia turut digunakan dalam sektor lain termasuk perkhidmatan e-dompet.
“Dalam beberapa perkara ini, saya akan minta supaya pihak MCMC mengadakan sesi taklimat khusus untuk rakan-rakan media.
“Mungkin persoalan-persoalan khusus boleh dijawab, persoalan-persoalan teknikal boleh dijawab dengan sepenuhnya,” katanya.
Ujarnya lagi, penggunaan dokumen rasmi kerajaan bagi tujuan pengesahan identiti juga tidak bercanggah dengan dasar sedia ada kerana sudah dipraktikkan dalam beberapa perkhidmatan digital.
Katanya, aspek keselamatan data peribadi tetap tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi bagi memastikan pengendalian maklumat pengguna dibuat mengikut peruntukan undang-undang.-UTUSAN.










