PETALING JAYA: Malaysia kini menjadi destinasi tumpuan bagi pasangan yang mahu mendapatkan rawatan kesuburan termasuk menerusi rawatan persenyawaan invitro (IVF).
Kadar kejayaan dan standard penjagaan tinggi prosedur rawatan yang ditawarkan menyebabkan negara ini makin menjadi pilihan pelancong kesihatan terutamanya dari China dan India.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh Mahindar Singh berkata, kualiti rawatan kesuburan di negara ini selain kos yang lebih rendah berbanding negara asal sememangnya menjadi daya penarik.

“Bagi rawatan IVF dan kesuburan, Malaysia dilihat sebagai antara destinasi pilihan di rantau ini kerana kombinasi kepakaran, kadar kejayaan yang tinggi serta suasana rawatan yang menawarkan keselesaan dan privasi lebih terjamin.
“Faktor hospitaliti Malaysia memainkan peranan besar dalam sektor kesihatan negara. Pesakit antarabangsa sering menghargai layanan mesra dan pendekatan lebih peribadi yang diterima.
“Pasaran seperti China dan India kini semakin berkembang khususnya dalam memburu rawatan bernilai tinggi ini. Ini membuktikan Malaysia semakin diyakini bukan sahaja daripada sudut kos, tetapi kepakaran klinikal yang setanding peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
IVF adalah rawatan kesuburan yang asalnya dikenali sebagai bayi tabung uji. Prosedur rawatan ini memerlukan telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal untuk menghasilkan embrio dan embrio itu kemudian akan dimasukkan ke dalam rahim.
Selain IVF, pelbagai rawatan dan prosedur lain turut ditawarkan kepada pasangan yang mengalami masalah kesukaran untuk hamil seperti permanian beradas (iui) dan pemindahan gamete intra-fallopian (GIFT).
Sementara itu, menurut Dr. Kuljit, IVF adalah antara enam rawatan utama yang menjadi pilihan warga asing di negara ini selain kardiologi, onkologi, ortopedik, gastroenterologi dan pemeriksaan kesihatan menyeluruh.
Katanya, trend itu menyaksikan rekod pendapatan sektor pelancongan kesihatan meningkat sebanyak 23 peratus tahun lalu manakala jumlah kehadiran pelancong kesihatan meningkat 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pesakit antarabangsa kini memberi keutamaan kepada rawatan yang menawarkan keseimbangan antara teknologi perubatan moden dan tempoh menunggu yang singkat.
“Di Malaysia, kita mempunyai ekosistem hospital swasta yang matang. Empat hospital malah telah menerima pengiktirafan Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) iaitu Island Hospital, Institut Jantung Negara, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre yang menjadi pemacu kepada kecemerlangan ini,” katanya lagi,
Dalam pada itu, Kuljit Singh berkata, kelebihan Malaysia sebagai hab pelancongan kesihatan berbanding pesaing serantau seperti Thailand dan Singapura adalah menerusi pendekatan holistik dan pengalaman pesakit yang lebih lancar.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan industri pelancongan perubatan dan kesihatan negara terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Keadaan itu katanya, mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem kesihatan Malaysia yang berkualiti tinggi dan berpatutan.
Beliau berkata, hab penjagaan kesihatan utama di Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang terus merekodkan peningkatan pesat pesakit asing selaras dengan status negara sebagai destinasi pilihan perubatan kos kompetitif di rantau ini.
Rekod suku pertama 2025 turut menunjukkan pasaran baharu seperti Bangladesh dan Myanmar masing-masing mencatatkan lebih 40,000 pelancong kesihatan ke negara ini.
Secara keseluruhan tahun lalu, kehadiran pelancong kesihatan ke negara ini mencecah 1.84 juta orang dengan Indonesia kekal sebagai penyumbang utama iaitu seramai 970,000 orang.-UTUSAN.










