BOURNEMOUTH: Pep Guardiola enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi masa depannya di Manchester City selepas keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth, semalam.
Keputusan seri itu menamatkan harapan City untuk merampas semula gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mengesahkan kejuaraan Arsenal selepas 22 tahun.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mendakwa Guardiola akan meninggalkan City selepas aksi terakhir EPL menentang Aston Villa Ahad ini, namun tiada sebarang kenyataan rasmi setakat ini.
“Beri peluang kepada saya bercakap dengan pengerusi kelab terlebih dulu. Saya masih mempunyai baki kontrak setahun lagi.
“Setiap kali musim berakhir kami akan berbincang mengenainya. Saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa. Pertama sekali saya akan bercakap dengan pengerusi dan pihak pengurusan,” kata Guardiola.
Menurut Guardiola, beliau tidak mahu pemain mengetahui lebih awal jika seseorang pengurus bakal meninggalkan pasukan kerana ia boleh memberi kesan terhadap hubungan dalam skuad.
“Daripada pengalaman saya, apabila pengurus menjangkakan beliau akan pergi, pemain tidak lagi mengikutinya. Anda perlu memimpin pasukan. Sekarang masa untuk saya bercakap dengan mereka,” katanya.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu diasak soalan mengenai masa depannya pada sidang media selepas perlawanan, namun memilih untuk mengucapkan tahniah kepada Arsenal dan Mikel Arteta yang pernah menjadi pembantunya di City.
Guardiola berkata, pasukannya turut dibelenggu keletihan hanya tiga hari selepas menewaskan Chelsea pada final Piala FA untuk melengkapkan kejuaraan berganda domestik.
“Saya berharap kami dapat bersaing hingga detik terakhir tetapi hari ini keletihan memang jelas kelihatan,” katanya.
Jika benar Guardiola meninggalkan City, ia akan menamatkan salah satu era paling berjaya dalam sejarah bola sepak England.
Sejak dilantik pada 2016, pengendali berusia 55 tahun itu menghadiahkan 20 trofi termasuk enam gelaran EPL dan satu Liga Juara-Juara.
Bekas pembantunya, Enzo Maresca dilaporkan menjadi calon utama menggantikannya selepas tidak lagi mengendalikan Chelsea sejak awal tahun ini. – AGENSI/UTUSAN










