Dana asing: Kamil tidak akan mohon maaf

Dana asing: Kamil tidak akan mohon maaf

KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Ang­katan Muda Keadilan (AMK), Kamil Abdul Munim mempertahankan tindakannya berhubung penerimaan dana asing oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebanyak RM1.5 juta daripada sebuah pertubuhan haluan kiri di Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, isu utama yang dibangkitkannya adalah bagi mendapatkan penjelasan berkaitan dakwaan penerimaan dana tersebut dan bukannya membuat tuduhan melulu.

“Apakah salah kalau kita minta penjelasan? Kalau tidak ada, cakap tidak ada. Sebaiknya, dedahkan laporan kewangan, tunjuk laporan audit.

“Kalau dana ini disalurkan bagi tujuan pendidikan demokrasi, mana programnya? Mana aktivitinya? Sebab yang banyaknya hanyalah tindakan membentuk provokasi di jalanan.

“Tidak sepatutnya mereka terlalu defensif. Saya tidak membuat tuduhan dan saya hanya bangkitkan persoalan tentang dakwaan yang berlegar ini. Tidak mampu jawab? Maka, mereka gunakan helah dengan surat tuntutan,” katanya ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Kelmarin Kamil mendakwa terdapat laporan antara November 2024 hingga Jun 2025 bahawa Mandiri menerima dana dari AS melalui tujuh transaksi kepada beberapa individu.

Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan mendakwa, dana itu mempunyai kaitan dengan gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan dan menggugat kestabilan politik.

Susulan daripada itu, Ketua Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, surat tuntutan guaman (LOD) bertarikh 18 Mei dihantar kepada Kamil melalui e-mel dan serahan tangan kelmarin.

Mereka memberikan tempoh 48 jam untuk Kamil menjawab dan membuat permohonan maaf berhadapan dan secara terbuka atau berdepan tuntutan saman RM10 juta.

Bagaimanapun, Kamil mene­gaskan yang beliau tidak akan memohon maaf atas perkara tersebut.

“Tidak ada perkara yang saya perlu mohon maaf kerana tidak membuat sangkaan jahat kepada Mandiri. Itu berdasarkan dakwaan yang telah disebarkan dan seharusnya mereka mengambil ruang untuk menyatakan penjelasan serta bentangkan sebarang laporan untuk menafikan atau melenyapkan dakwaan yang berlaku,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya lagi, beliau tidak pernah menyebut mana-mana gerakan sivil tidak boleh menerima dana sama ada dari dalam ataupun luar negara bagi tujuan pendidikan demokrasi dan pembangunan masyarakat sivil.

“Dahulu saya juga pernah menjalani latihan yang berpangkalan di Jerman, mereka latih kita demokrasi, pendidikan politik, kita tidak ada masalah dan ada beberapa pihak cuba memutar belit kenyataan saya seolah-olah saya cuba serang pertubuhan yang menerima dana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN