Ibu tunggal maut, motosikal, kereta bertembung

Ibu tunggal maut, motosikal, kereta bertembung

Motosikal bertembung kereta
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan motosikal bertembung dengan kereta dekat Jalan Haji Othman, Kampung Rantau Panjang, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta dekat Jalan Haji Othman, Kampung Rantau Panjang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.25 malam itu, mangsa berusia 30 tahun dikatakan dalam perjalanan dari arah Jalan Sungai Saim menghala ke Jalan Kampung Rantau Panjang.

“Ketika di lokasi, mangsa dirempuh oleh sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun. Kemalangan itu mengakibatkan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah.

“Wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, kejadian kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu boleh tampil ke kehadapan memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Ahmad Fazlin Rasli di talian 012-511 3584,” ujarnya.

Terdahulu insiden tersebut tular dalam media sosial selepas potongan video daripada rakaman dipercayai dari sebuah restoran menunjukkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Wanita berkenaan didakwa melambung tinggi sebelum tercampak ke kawasan rumput berdekatan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB).

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, ‘Saya Axn’ di dalam kumpulan ‘Info JPKK Kg. Rantau Panjang’ mendakwa mangsa merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai anak masih kecil.

Susulan itu juga penduduk Kampung Rantau Panjang turut melancarkan tabung derma kilat keatas mangsa yang dikenal pasti penduduk di situ sebagai Allahyarhamah Nazira Rahman.

Tujuan sumbangan tersebut adalah bagi memastikan kebajikan dan keperluan anak yang ditinggalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN