Malaysia selesaikan RM320.27 juta pampasan HSR - Utusan Malaysia

Malaysia selesaikan RM320.27 juta pampasan HSR

LAKARAN artis satu daripada stesen projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dan Singapura telah mencapai penyelesaian bayaran pampasan berkaitan penamatan Perjanjian Dua Hala Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur dan Singapura (HSR).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung, dalam satu kenyataan bersama memberitahu pembayaran sebanyak RM320.27 juta telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura.

Jumlah itu adalah kos yang dikeluarkan untuk membangunkan projek HSR selain lanjutan penangguhan projek tersebut.

“Kedua-dua negara telah mencapai persetujuan dengan baik mengenai jumlah tersebut setelah menjalani proses pengesahan oleh Malaysia.

“Jumlah itu merupakan penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan dengan penamatan perjanjian dua hala itu,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua negara akan kekal komited untuk menjaga hubungan baik dan memupuk kerjasama bagi kepentingan rakyat kedua-dua negara.

Pada awal Januari tahun ini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengumumkan penamatan projek HSR setelah kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia pada 31 Disember lalu.

Pada 4 Januari lalu, Ye Kung memberitahu, dengan penamatan projek itu, Malaysia harus membayar ganti rugi kepada Singapura kerana negara republik itu telah membelanjakan kira-kira RM831 juta untuk projek tersebut.

Jelasnya, pampasan itu merangkumi pelbagai kos pengguguran seperti perkhidmatan perundingan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga kerja untuk projek tersebut kecuali kos pengambilan tanah kerana kos itu dapat diambil kembali.

Laluan kereta api sejauh 350 kilometer yang pada mulanya telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pada 2013 itu akan bergerak dari stesen terminal pusat bandar Kuala Lumpur ke terminal di Jurong East, Singapura.

Dalam perancangannya, HSR memiliki tujuh stesen dan akan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura menjadi 90 minit berbanding lebih empat jam menaiki kereta dan kira-kira lima jam melalui perjalanan udara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya