Kelulusan import telur ayam tidak libatkan dana awam

Kelulusan import telur ayam tidak libatkan dana awam

Sebarang perbelanjaan dan risiko mengimport telur ayam ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam digunakan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia tidak ada memberikan subsidi kepada telur ayam import sepertimana yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan, sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam digunakan.

Jelasnya, kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sejak Januari lalu usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara mula menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut rekod, pada Januari lalu, bekalan telur di pasaran mencukupi iaitu mempunyai lebihan 160.6 juta berbanding kekurangan 118.2 juta pada Oktober 2022; 157.5 juta (November 2022) dan 1.28 juta telur (Disember 2022).

Pada 6 Disember tahun lalu, Menteri MAFS, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan itu yang agak meruncing sejak Oktober.

Justeru, katanya, kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun depan diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn. Bhd. dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022.

Bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih dan bebas daripada segala penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan DVS melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara ini.

Langkah ini dilaksanakan secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN