Kadar kebolehpasaran graduan pertanian lebih 70 peratus

Kadar kebolehpasaran graduan pertanian lebih 70 peratus

MOHAMAD Sabu menyampaikan Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada Zulfaqar Arief Zolhaimi pada Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-11 Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar kebolehpasaran graduan yang berjaya menamatkan pengajian di pusat-pusat latihan di bawah naungan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan secara puratanya mencapai antara 65 hingga 73 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peratusan tersebut merupakan data yang direkodkan dalam tempoh masa lima tahun dengan kadar kebolehpasaran terkini sehingga 28 Februari lalu mencatatkan sejumlah 69.5 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas bergraduasi.

Menurut beliau, kebanyakan mereka yang menamatkan pengajian berjaya menceburkan diri dalam bidang agromakanan selain menjadi usahawan.

“Ada juga (di antara mereka) yang melanjutkan pelajaran, angka (kebolehpasaran) menunjukkan lebih 70 peratus dapat pekerjaan itu jadi lebih tinggi. Kalau kita lihat graduan yang mengambil kursus-kursus lain di universiti-universiti belum tentu dapat capai peratusan tersebut dalam keadaan ekonomi ketika ini.

“Mereka yang bergraduasi dalam bidang penternakan pula, kita harap mereka terus berkecimpung dalam bidang sama kerana negara (ketika ini) masih lagi mengimport 80 peratus daging lembu dan kambing jadi peluang ini masih terbuka luas untuk mereka yang ingin terlibat.

“Pekerjaan dalam bidang pertanian ini luas kerana keterjaminan makanan adalah isu dunia dan kita lihat kecenderungan anak-anak muda terhadap bidang pertanian sekarang ini tinggi, tak sama macam dulu apabila pertanian dianggap suatu pekerjaan di tahap bawah tapi sekarang sudah ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyan Pertanian Kali Ke-11 Tahun 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad berkata, seramai 629 graduan berjaya menamatkan pengajian bagi tahun 2022 yang terdiri daripada 101 graduan Diploma Kemahiran Malaysia, 306 graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 156 graduan Sijil Pertanian, 45 graduan Sijil Veterinar Malaysia, 20 graduan Sijil Perikanan serta lapan penerima anugerah khas.

Tambahnya, sejak penubuhan pusat-pusat latihan berkenaan pada tahun 1969, kementeriannya berjaya mengeluarkan seramai 22,667 orang graduan terlatih dalam bidang pertanian dan agromakanan.

“Institut dan pusat latihan di bawah jabatan dan agensi akan sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang diguna pakai serta memperuntukkan sumber kewangan mencukupi untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan bagi pelaksanaan program latihan yang dirancang.

“Semua ini dengan tujuan melahirkan graduan kompeten dalam pelbagai bidang pertanian, bukan sahaja bagi memenuhi permintaaan tenaga mahir daripada sektor awam dan swasta malahan untuk melahirkan graduan yang bakal menjadi usahawan dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan semua agensi di bawah kementerian ini dikerahkan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi menjelang bulan Ramadan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya