Sidang DUN Perak: Penjawat awam paling ramai belum ambil vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Penjawat awam paling ramai belum ambil vaksin Covid-19

A. SIVANESAN dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penjawat awam di negeri ini dikenal pasti paling ramai belum mengambil suntikan vaksin Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan.

Beliau berkata, data terkini mendapati kira-kira enam peratus individu yang layak enggan berbuat demikian di mana penjawat awam merekodkan jumlah terbanyak.

Katanya, usaha sedang dilakukan bagi menasihati golongan tersebut untuk mendapatkan suntikan berkenaan.

“Di sektor swasta, hampir 98 peratus pekerja telah mendapatkan vaksin tetapi di perkhidmatan awam kita mengalami masalah.

“Bagaimanapun, saya percaya kita akan dapat mengatasi masalah ini pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan lisan Mohamad Fakhrudin Abdul Aziz (Pas-Kamunting) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, peratusan tinggi dalam kalangan pekerja swasta itu didorong oleh tindakan majikan yang mewajibkan pekerja di premis masing-masing melengkapkan imunisasi tersebut.

“Di sektor swasta, majikan boleh memaksa pekerja untuk mengambil vaksin dan jika seseorang pekerja itu enggan, maka boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dipecat,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan lisan Ong Boon Piow (DAP-Bercham) berkaitan sebab utama suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) tidak dapat diberikan kepada pelajar perempuan, Sivanesan berkata, negara mengalami gangguan bekalan vaksin HPV ekoran gangguan di peringkat global.

Katanya, pada tahun 2021, hanya 1,714 orang pelajar perempuan Tingkatan Satu kohort 2021 di negeri Perak menerima vaksin HPV lengkap manakala baki 15,805 orang lagi belum menerima suntikan itu.

“Bagi kohort 2022 pula, sehingga 9 Disember lalu, seramai 114 murid perempuan Tingkatan Satu telah menerima vaksin HPV lengkap dan 17,517 orang lagi belum menerima vaksin tersebut,” katanya.

Tambah beliau, setakat 6 Disember 2022, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menerima 7,860 dos vaksin HPV.

“Keseluruhan vaksin yang diterima itu akan digunakan bagi memberi vaksinasi dos pertama kepada murid perempuan Tingkatan Satu yang terlepas peluang pada tahun 2021.

“Bagi baki murid kohort 2021 dan 2022 yang belum mendapat vaksinasi pada tahun 2022, mereka akan diberikan suntikan HPV apabila JKN Perak menerima bekalan daripada KKM kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya