DUN Perak: Hak milik kekal tanah kampung baharu satu fitnah - Aziz Bari - Utusan Malaysia

DUN Perak: Hak milik kekal tanah kampung baharu satu fitnah – Aziz Bari

ABDUL Aziz Bari pada perbahasan menjunjung kasih titah diraja semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/KORPORAT SUK PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dakwaan ada parti tertentu yang menjadi kerajaan akan memberikan hak milik kekal tanah kepada penduduk kampung baharu merupakan  satu fitnah.

Dr. Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) berkata, tidak timbul soal tersebut kerana perkara itu bukan undang-undang sebaliknya cuma satu hasrat yang dijanjikan dan belum pun dilaksanakan.

Menurutnya, jika perkara itu hendak dilaksanakan pun, ia bergantung pada kedudukan dalam Kanun Tanah Negara.

“Kata nak bagi tanah pada Cina adalah satu fitnah, mengarut, tidak timbul soal itu. Perkara itu bukan perkara asas atau perkara pokok dalam Perlembagaan.

“Itu terpulang kepada undang-undang yang ada. Kalau soal tanah, ia tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan sudah pasti di bawah Kanun Tanah Negara itu ada undang-undang kecil yang diluluskan, jadi saya tidak nampak perkara ini menjadi satu isu.

“Apa pun, setiap perkara perlu dibawa ke Parlimen dan Dewan Negeri, tidak ada perkara yang boleh dilakukan secara senyap-senyap, secara diam-diam atau di belakang tabir,” katanya semasa perbahasan menjunjung kasih titah diraja sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Abdul Aziz menjawab soalan Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) yang bertanya sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk memberi geran tanah hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baharu di negeri ini.

Menurut Abdul Aziz, juga tak timbul isu jika ada parti tertentu menjadi kerajaan maka orang Melayu akan terancam kerana ia sudah jadi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, katanya, semasa titah diraja semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengambil maklum jumlah penduduk Melayu adalah 1.6 kali atau hampir dua kali ganda penduduk bukan Melayu di negeri ini.

“Anehnya golongan Melayu yang merupakan golongan majoriti dan penduduk asal ini yang berasa takut dan bimbang diancam. Ini satu fenomena yang pelik lagi ganjil. Ini berlawanan dengan logik dan fitrah alam.

“Begitu juga kedudukan dalam Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh kita betapa kedudukan Raja-Raja, Bahasa Melayu dan Islam tidak boleh disentuh apalagi dipinda sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 63(5) dan 72(5) serta 159 (5).

“Di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Perkara 12(2),  Menteri Besar mesti orang Melayu dan Islam, Perkara 26C yang menetapkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri mesti Melayu dan Islam. Ini semua adalah peruntukan undang-undang yang menunjukkan betapa kebalnya kedudukan orang Melayu dan Islam.

“Hatta di Parlimen pun tidak boleh menyentuh atau membawa usul memansuhkan institusi beraja, jadi tidak timbul tuduhan Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada ‘Republican’ atau orang yang cenderung untuk memansuhkan sistem beraja kerana ia tidak boleh dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya