Tuduh Anwar-Ahmad Zahid bekerjasama, Tun M sifar modal politik

PRU15: Tuduh Anwar-Ahmad Zahid bekerjasama, Tun M sifar modal politik

SHAMSUL  ISKANDAR MOHD. AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tun Dr. Mahathir Mohamad dianggap kehabisan modal politik apabila mendakwa wujudnya kerjasama Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, tuduhan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga dilihat penuh emosi kerana mungkin permohonannya untuk bekerjasama dengan PH ditolak mentah-mentah oleh Anwar.

Malah katanya, kekecewaan Dr. Mahathir itu juga setelah melihat tanda penolakan orang ramai terhadap parti yang ditubuhkannya menerusi satu program di Sabah.

“Mungkin Tun terlupa bahawa beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

“Tindakan beliau memberi ruang kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menghancurkan negara apabila meletakkan jawatan Perdana Menteri tanpa mendapatkan pandangan Majlis Presiden PH ketika berlakunya Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan Dr. Mahathir membuat tuduhan sembarangan itu juga menunjukkan pemimpin terbabit tidak pernah puas dengan karier politiknya.

“Menuduh semua orang salah dan gilakan jawatan Perdana Menteri, Tun mungkin lupa bahawa selaku pemegang rekod Perdana Menteri paling lama di Malaysia, beliau juga merupakan satu-satunya individu yang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali.

“Sekarang beliau masih belum puas kerana masih mencuba untuk kali ketiga,” katanya.

Tambah beliau, bagi menjawab tuduhan Dr. Mahathir itu, beliau bersama Anwar akan turun berkempen bagi menggempur kubu kuat Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.

“Untuk menjawab tuduhan beliau sama ada benar atau tidak PH bekerjasama dengan BN, tunggu 16 November ini, Anwar akan turun berkempen bersama saya dan menggempur kubu kuat Zahid Hamidi habis-habisan,” katanya.

Menerusi laporan media sebelum ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, wujudnya perbincangan untuk bekerjasama antara Anwar dan Zahid pada PRU15.

Menurut Dr. Mahathir, Anwar akan membantu menggugurkan kes mahkamah yang dihadapi oleh Presiden UMNO itu dan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari penjara sekiranya disokong menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya