PETALING JAYA: Perubahan sokongan terlalu besar terhadap Perikatan Nasional (PN) menjadi antara punca tokoh mahupun calon daripada parti lain yang boleh menang tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pengundi Melayu cenderung mencari pilihan lain sekali gus menyebabkan perpecahan undi yang menyaksikan kemenangan kepada PN atau Pakatan Harapan (PH).
“Calon yang sebelum ini kuat tetapi tewas disebabkan sejumlah besar pengundi yang beralih arah, jadi ia mengubah sokongan asas. Ada gelombang dan gelombang ini menjatuhkan siapa sahaja.
“Pengundi atas pagar yang tidak terpengaruh dengan isu perkauman pula menyokong PH dan sebab itu PH menang majoriti besar. Tetapi di kawasan Melayu, persaingan melibatkan antara PH dan PN. Orang lama beralih (sokong) PN sebab marah kepada kepimpinan UMNO, akhirnya strategi itu menjadi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, keputusan PRU15 menyaksikan nama-nama besar yang sebelum ini menyandang sesebuah Parlimen tewas pada pilihan raya umum kali ini.
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan calon tertua pada PRU15 ini gagal mempertahan Parlimen Langkawi.
Bekas Perdana Menteri itu yang tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak 1974 akhirnya hanya berada di tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru di Langkawi, dengan memperoleh 4,566 undi sekali gus hilang deposit.
Tengku Razaleigh Hamzah
Selepas 12 penggal mempertahan Parlimen Gua Musang, calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai ‘ Ku Li’ tewas kepada calon daripada PN.
Veteran UMNO itu tewas tipis di tangan calon Pas, Mohd. Azizi Abu Naim dengan hanya majoriti 163 undi sekali gus menyaksikan kebangkitan pengundi lama untuk menolak UMNO.
Tengku Adnan Tengku Mansor
Calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau ‘Ku Nan’ kalah dalam persaingan enam penjuru pada pilihan raya umum kali ini.
Bekas penyandang Parlimen Putrajaya selama empat penggal itu tewas kepada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin daripada PN dengan majoriti 2,310 undi.
Nurul Izzah Anwar
Calon PH Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akhirnya terpaksa berlapang dada apabila kerusi legasi keluarganya itu sejak 1982 bertukar tangan kepada PN.
Ia selepas Nurul Izzah gagal mempertahan kerusi itu yang mula disandang bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ibunya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas 40 tahun.
Saifuddin Nasution Ismail
Penyandang Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail gagal mempertahan kerusi tersebut pada pilihan raya umum kali ini.
Ketua Setiausaha PH itu tewas kepada calon PN, Roslan Hashim yang menang dengan majoriti 13,061 undi.
Setiausaha Agung PKR itu itu hanya memperoleh 21,408 undi berbanding Roslan yang mendapat 34,469 undi.
Zuraida Kamaruddin
Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin tewas dalam sembilan persaingan di kawasan tersebut pada pilihan raya umum kali ini.
Malah, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu turut hilang deposit apabila hanya meraih 4,589 undi. – UTUSAN










