KUALA LUMPUR: Plaza Rakyat yang terletak bersebelahan dengan Pudu Raya dirancang menjadi hab pengangkutan dan bangunan ikon di bandar raya ini namun sejak 1997 pembinaannya terhenti dan terbengkalai sehingga kini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bangunan tersebut terus terbiar dan semakin usang sekali gus timbul persoalan sama ada ia masih boleh dibangun atau perlu dirobohkan sahaja.
Yang terpahat daripada projek itu buat masa ini hanyalah Stesen LRT Plaza Rakyat yang sepatutnya bersambung dengan bangunan tersebut.
Kawasan sekeliling projek itu didapati masih berpagar tetapi tidak dikawal oleh pengawal keselamatan manakala beberapa bahagian dalam kawasan tersebut juga didapati ditakungi air.
Seorang pekerja di bangunan berhampiran, Nursaiful Ikhmal Shaiful Bahrin, 25, berkata, projek terbengkalai itu boleh dilihat dengan jelas dari tempatnya bekerja dan bangunan usang tersebut amat menjejaskan pemandangan.
Katanya, bangunan tersebut lebih baik diruntuhkan dan dibangunkan bangunan baharu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat kerana lokasi tanahnya yang strategik.
“Dari tempat kerja saya pun sudah boleh nampak macam mana teruknya bangunan tersebut. Apa saya tahu, ada beberapa syarikat cuba ambil alih tetapi sehingga kini terus sepi.
“Saya rasa Plaza Rakyat perlu dirobohkan terlebih dahulu, kalau mahu sambung pembangunannya pun agak membimbangkan kerana bangunan tersebut sudah ‘tua’ tetapi yang pasti kita tak boleh biarkan ia berdiri macam tu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini.
Plaza Rakyat mula dibina pada 1992 dan dikatakan bakal menjadi pengganti kepada Pudu Raya sebagai hab pengangkutan awam untuk seluruh negara serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas ketika itu dengan menelan anggaran kos RM1.2 bilion.
Bangunan yang sepatutnya siap sepenuhnya pada 2007 dirancang dengan ketinggian 382 meter dan ruang seluas 6.6 juta kaki persegi dengan mempunyai pelbagai kemudahan seperti ruang niaga, pusat pengangkutan awam, ruang pejabat, pusat hiburan dan hotel.
Namun, Plaza Rakyat mula terbengkalai sejak 1997 apabila negara menghadapi kemerosotan ekonomi dan sehingga kini masih boleh dikatakan terbiar walaupun terdapat beberapa percubaan dibuat untuk membangunkannya semula.
Pada 2015, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat dan Profit Consortium Sdn. Bhd. dilantik untuk menggalas tanggungjawab memulihkan bangunan tersebut.
Pada 2019, semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kerajaan pada waktu itu memaklumkan projek Plaza Rakyat akan dibangunkan semula apabila beberapa perkara diselesaikan oleh pemaju baharu dan dijangka siap tiga hingga lima tahun.
Sementara itu, Mohd. Nor Shafiq Md. Saad, 26, pula berkata, sekiranya bangunan Plaza Rakyat itu dapat dirobohkan, harapnya dapat dibina sesuatu yang boleh memberi kemudahan kepada rakyat.
“Saya sokong sekiranya ia dibina semula menjadi satu bangunan yang boleh memberi kemudahan kepada rakyat seperti tempat untuk beriadah atau taman tema air.
Bukan sahaja masyarakat tempatan sahaja akan datang tetapi juga dapat menarik pelancong,” katanya.
Sependapat dengan itu, Mohd. Faris Zulkarnain, 27, berkata, lebih baik dibangunkan plaza itu menjadi pusat sukan dan seumpamanya memandangkan dahulu kawasan tersebut adalah padang permainan.
“Sayang juga apabila ia diambil untuk pembangunan projek tetapi tergendala. Jadi bangunkan pusat sukan di situ saya rasa antara pilihan tepat,” jelasnya. – UTUSAN










