‘Tamatkan pajakan lombong, segera pulih dan hijaukan Tasik Chini’

‘Tamatkan pajakan lombong, segera pulih dan hijaukan Tasik Chini’

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kerajaan negeri diminta lebih agresif memastikan Tasik Chini di sini, dapat dipulih dan dihijaukan semula supaya kegemilangan serta peranan asal tasik itu yang memanfaatkan penduduk sekitar malah fungsi semula jadinya sebagai biosfera kekal lestari.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pajakan lombong yang  tamat tempoh tidak perlu disambung dan kawasan Tasik Chini perlu dihijaukan dalam masa terdekat. 

“Saya juga menyokong langkah moratorium yang diambil kerajaan negeri di kawasan tersebut. 

“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan oleh semua pihak. Bukan sahaja kerajaan negeri, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen dan turut sama dalam menjayakan usaha ini,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal bertitah, pemuliharaan alam sekitar, flora, dan fauna, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Baginda bertitah, sudah wujud pelbagai akta dan enakmen yang spesifik tentang perlindungan alam sekitar di negara serta di negeri ini. 

“Namun, tanpa penguatkuasaan yang tegas, segala usaha akan gagal, sia-sia dan tidak berkesan. Justeru, saya bertitah agar agensi dan badan penguatkuasaan perlu memainkan peranan masing-masing secara serius.

“Saya tegaskan di sini bahawa saya tidak mahu lagi melihat kejadian seperti memasuki hutan tanpa kebenaran, pencurian hasil hutan seperti pokok dan balak, aktiviti pemburuan haram, menangkap ikan terlarang dengan bom, racun atau renjatan elektrik. 

“Rondaan dan pemantauan perlu dijalankan dengan lebih kerap dan teliti. Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar selepas ini,” titah baginda. 

Tengku Hassanal bertitah, semua pihak tanpa mengira darjat dan kedudukan perlu akur dan patuh kepada undang-undang, sama ada ahli kerabat, ahli yang berhormat, ahli politik, ketua jabatan, penjawat awam mahupun rakyat.

“Alam ini adalah milik kita bersama dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya secara bersama,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya