PETALING JAYA: Selepas hampir 10 bulan dibincangkan, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak perlu ditangguhkan lagi apabila Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selesai memuktamadkan draf tersebut.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dicadang adakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu pertama Julai ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu sewajarnya di-ambil kerana cadangan berkenaan dikeluarkan Jawatankuasa Pilihan Khas.
Katanya, keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas sudah tentu dibuat secara konsensus dan menerusi perbincangan semua anggotanya yang dianggotai pimpinan parti kerajaan dan pembangkang.
“Patut tidak ada masalah dan tindakan wajar diambil. Kita pun sudah memberi mandat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum ini, jadi patut ada langkah yang sewajarnya diambil.
“Jika dibentangkan, kita akan bahas ikut prosedur pembahasan dan harap ia dapat diluluskan pada hari sama,” katanya.
Utusan Malaysia sejak April lalu konsisten memperjuangkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan bagi terus mengelakkan langkah yang tidak sihat diambil mana-mana Ahli Parlimen terutama selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sudah 40 Ahli Parlimen bertukar atau melompat parti menjadikan akta tersebut perlu disegerakan.
Mengulas isu sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai semalam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 bagi memaklumkan cadangan kepada Perdana Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, keputusan tersebut diputuskan secara sebulat suara yang meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Semua ahli mesyuarat bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 boleh dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
“Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Wan Junaidi berkata, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lalu, dan ia telah diulas dan dijawab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam.
Katanya, maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara itu akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.
“Mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Wan Junaidi komited dengan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan RUU itu.
Katanya, perkara itu dapat direalisasi kerana jawatankuasa itu dianggotai oleh pakar dan pengamal undang-undang yang berpengalaman bagi menggubal undang-undang berkenaan.
Ahli Parlimen kerajaan yang menganggotai jawatankuasa khas itu ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Bersatu-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).
Wakil pembangkang pula membabitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (Warisan-Penampang). – UTUSAN










