PETALING JAYA: Kehidupan 32.2 juta penduduk negara ini kembali normal menerusi peralihan ke fasa endemik mulai hari ini selepas dua tahun berperang dengan Covid-19, sekali gus menjadi strategi keluar sebelum beralih ke endemik yang hanya boleh diumumkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Pembukaan sempadan adalah antara usaha utama kerajaan dan langkah itu merancakkan semula ekonomi negara khususnya industri pelancongan.
Sempadan darat Malaysia dan Singapura dibuka dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan seperti tidak perlu menjalani kuarantin dan melaksanakan ujian saringan Covid-19 bagi mereka lengkap divaksin.
Bagi pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, kerajaan tidak perlu mengambil langkah ke belakang seperti menutup semula sempadan negara atau kembali melaksanakan sekatan pergerakan jika kes Covid-19 melonjak ketika fasa peralihan ke endemik.
Beliau mengakui negara masih berdepan Covid-19 yang bermutasi dalam beberapa bulan akan datang tetapi tidak seteruk seperti ketika pendemik itu mula-mula menyerang dunia dua tahun lalu.
“Seandainya kes melonjak naik, majoritinya kemungkinan besar bergejala ringan dan tidak tergolong dalam unit rawatan rapi (ICU).
“Kalau berlaku lonjakan kes sekali pun, lebih 80 peratus populasi negara sudah divaksin. Jadi kita berada dalam keadaan yang tidak membimbangkan, tidak akan ada lagi ancaman besar terhadap sistem kesihatan negara,” katanya.
Bermula hari ini juga menyaksikan beberapa perubahan baharu antaranya had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan bermakna pemilik boleh berurus niaga mengikut syarat lesen.
Bagi solat jemaah masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat pula, orang ramai dibenarkan melakukan aktiviti itu tanpa penjarakan fizikal sekali gus menjadi khabar gembira khususnya umat Islam.
Dalam pada itu, had kapasiti 50 peratus aktiviti melibatkan perkumpulan ramai dimansuhkan secara menyeluruh manakala pemansuhan sama membabitkan jumlah kapasiti pekerja ke pejabat yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dan semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi.
Namun, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan dan pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan kecuali untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai serta MYSJTrace diwajibkan di tempat tertutup dipenuhi orang ramai.
Sementara itu, 2.7 juta penduduk dewasa Malaysia melibatkan warga emas penerima semua jenis vaksin dan penerima vaksin Sinovac yang belum menerima dos penggalak bertukar status vaksinasi kepada tidak lengkap.
Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan berkata, peralihan fasa endemik tidak bermakna perang rakyat Malaysia melawan Covid-19 sudah berakhir.
Sebaliknya langkah itu disifatkan sebagai ‘gencatan senjata’ sementara kembali kepada kehidupan normal.
Jelasnya, virus Covid-19 masih wujud dalam kehidupan rakyat, tetapi kesan dan impaknya berkurangan setelah hampir majoriti penduduk menerima suntikan vaksin.
“Kita boleh anggap Covid-19 seperti penyakit demam denggi, masih dianggap berbahaya tetapi rakyat tidak perlu panik. Begitu dengan virus ini, sebab kita sudah ada imunisasi vaksin apatah ramai penduduk memperolehi antibodi setelah banyak sudah dijangkiti virus berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN










