PUTRAJAYA: Selepas ditutup selama dua tahun, kira-kira dua juta pelancong dari luar negara disasarkan memasuki Malaysia sehingga akhir tahun ini sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka mulai Jumaat ini.
Kedatangan pelancong antarabangsa itu sekali gus dijangka menyumbang sebanyak RM8.6 bilion pendapatan kepada negara.
Ia sekali gus memberi nafas semula kepada industri pelancongan negara selepas terjejas teruk dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM135 bilion (2020) dan meningkat kepada RM165 bilion pada tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu bagaimanapun bergantung kepada pelbagai faktor terutama kebenaran dan kemudahan pergerakan oleh negara-negara asing terhadap rakyat mereka yang ingin melancong ke luar negara.
Katanya, berdasarkan pengalaman dengan negara-negara luar, banyak faktor yang mempengaruhi sasaran ini bergantung kepada faktor dinamik dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
“Kita terus mempergiatkan promosi melalui pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara bagi menarik minat pelancong ke Malaysia untuk mencapai sasaran ini.
“Semasa tempoh sempadan ditutup, kementerian tetap menjalankan promosi walaupun dalam skala kecil bagi memastikan Malaysia kekal visible dan menjadi pilihan destinasi pelancongan,” katanya di sini semalam.
Nancy berkata, dalam usaha kerajaan merancakkan semula industri pelancongan negara, penggiat industri diseru bekerjasama dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang kompetitif dari segi harga dengan menawarkan tarikan menarik kerana seluruh dunia berusaha menarik semula pelancong antarabangsa ke negara masing-masing.
Beliau menjelaskan, kementerian sentiasa membantu penggiat industri untuk bertahan, terutama ketika masa sukar sejak dua tahun tidak beroperasi dengan menawarkan pelbagai insentif, bantuan dan skim pembiayaan mudah serta membantu aspek promosi.
Katanya, tahun ini sahaja, kerajaan menawarkan pelbagai insentif seperti pelaksanaan Program Subsidi Upah; Bantuan Khas Tunai berjumlah RM85 juta kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar sekali gus memanfaatkan hampir 20,000 penggiat industri.
Selain itu, katanya, baucar diskaun atau rebat RM20 juta diberi ke atas produk-produk pelancongan, seni dan budaya merangkumi pakej pelancongan, perhotelan, pengangkutan awam (udara dan darat), minat khas (selam skuba, zoo, beli-belah dan inap desa), pembelian buku, jualan produk usahawan kraf dan karya seni tempatan untuk meningkatkan promosi pelancongan Malaysia dan juga kuasa beli pengguna.
“Dana sokongan diberikan sebanyak RM5 juta bagi aktiviti promosi dan penggiat pelancongan dalam bentuk bantuan kewangan kepada persatuan, kelab, syarikat atau agensi pelancongan, penginapan, pusat beli-belah, pelancongan berasaskan komuniti, taman tema dan pemunya produk dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, dalam usaha mengelak pelancong menjadi mangsa penipuan syarikat tidak bertanggungjawab, pihaknya meminta pelancong domestik atau antarabangsa menyemak sama ada syarikat pelancongan tersebut berlesen dengan kementerian ini sebelum membeli pakej pelancongan.
Katanya, sehingga kini, sebanyak 5,470 syarikat pelancongan berlesen dengan kementerian dan semakan boleh dibuat melalui laman sesawang Kementerian di www.motac.gov.my atau membuat aduan rasmi kepada kementerian sekiranya ditipu individu atau syarikat pelancongan.
Pada masa sama, katanya, kementerian sentiasa memperkukuh kesiapsiagaan pasukan penguat kuasa bagi pemantauan, pematuhan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Akta Industri Pelancongan 1992.
Buat masa ini, kata beliau, beberapa Notis Pemeriksaan dan Surat Tunjuk Sebab dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengendali pelancongan yang melanggar SOP Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dan SOP Umrah kerana tidak memainkan peranan pengendali pelancongan atau pemandu pelancong seperti ditetapkan.
“Kementerian mengadakan pemantauan secara berkala dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk memastikan kelancaran pembukaan sempadan.
“Saya sendiri akan menyambut ketibaan pelancong antarangbangsa di KLIA pada 1 April ini diatur Tourism Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAHB) termasuk kerjasama kementerian di negeri-negeri serta sokongan kerajaan negeri turut mengadakan acara sama di setiap pintu masuk antarabangsa di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu adalah salah satu usaha berterusan MOTAC dalam mengembalikan keyakinan pelancong-pelancong antarabangsa terhadap kesediaan dan keselamatan di semua destinasi pelancongan negara, selain berusaha untuk memastikan sektor pelancongan negara mencapai sasaran ketibaan pelancong. –UTUSAN










