PARIS: Perancis seolah-olah dilanda peperangan susulan protes ganas yang mencetuskan kemusnahan besar di seluruh negara, dengan 2,400 individu ditahan dan kejadian rompakan berleluasa.
Insiden itu meningkatkan tekanan terhadap Presiden Emmanuel Macron yang bakal menamatkan tempoh pemerintahannya menjelang pilihan raya bagi memilih penggantinya dalam tempoh enam bulan lagi.
“Ia seolah-olah kami baru sahaja melalui satu peperangan,” kata seorang penduduk berusia 78 tahun, Mehmet Ozeden, kepada AFP.
Dalam ucapan yang disampaikan dari Istana Élysée kelmarin, Macron menggesa rakyat supaya bertenang dan menjaga ketenteraman, selain memberi amaran kepada mereka yang terlibat supaya tidak memburukkan keadaan.
“Malam ini, kita semua berasa marah dan malu. Melihat imej-imej ini, kita semua tertanya-tanya, apakah yang bermain dalam fikiran mereka? Bagaimana rakyat Perancis boleh melakukan perkara ini terhadap negara sendiri?,” katanya.
Kerajaan menyalahkan kumpulan berhaluan kiri ekstrem atas keganasan tersebut, selain mendakwa penjenayah turut menjadi dalang di sebalik kejadian penjarahan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, mengakui polis ‘hilang kawalan’ di beberapa bandar ketika rusuhan berlaku.
Beliau berkata, persiapan menghadapi demonstrasi itu tidak dibuat dengan secukupnya, selain mengakui kegagalan menjangkakan perkembangan yang berlaku.
Nunez turut mengemukakan peletakan jawatan kepada Presiden Macron kerana merasakan dirinya bertanggungjawab terhadap segala yang berlaku. Bagaimanapun, Macron menolak peletakan jawatan tersebut.
Kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara, yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman bagi membantah kenaikan harga bahan api, peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam, termasuk sektor pendidikan.
Bagaimanapun, demonstrasi tersebut bertukar ganas pada Sabtu lalu, dengan kereta dibakar, premis perniagaan dirosakkan dan timbunan sisa kebakaran mencacatkan pemandangan kebanyakan jalan di Paris.
Timbalan Datuk Bandar Paris, Lamia El Aaraje, berkata ibu negara itu menyaksikan tahap keganasan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ratusan kedai di Paris dan beberapa bandar lain termasuk Marseille, Bordeaux, Nice dan Strasbourg menjadi sasaran rompakan, manakala hampir 1,000 polis dan pasukan keselamatan cedera dalam insiden pertempuran dengan penunjuk perasaan.
Menurut Persekutuan Peruncitan dan Perdagangan, kira-kira 1,500 premis perniagaan mengalami kerosakan, dengan kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta euro.
Dewan bandar raya Limoges yang dibina pada abad ke-19 musnah dalam kebakaran, manakala sebuah pejabat pelancongan di pusat bandar Lyon turut dibakar ketika protes menyaksikan beberapa pertempuran dan rompakan berlaku.











