KUALA LUMPUR: Semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan dinasihatkan tidak campur tangan hal berkaitan Dewan Keadilan dan Undangan (DKU) serta institusi diraja, sebaliknya menumpukan perhatian kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, wakil rakyat perlu melaksanakan mandat yang diberikan dengan mengutamakan usaha menyantuni dan menangani permasalahan rakyat.
Katanya, permasalahan undang-undang dan institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan.
“Pendirian kita ialah kita mesti memisahkan permasalahan undang-undang dan juga institusi diraja dengan masalah pentadbiran kerajaan.
“Sebab itu nasihat saya kepada ADUN-ADUN kita supaya tidak lagi campur tangan dalam soal-soal DKU dan juga institusi-institusi diraja. Kita tumpukan memberikan perkhidmatan kerana wakil-wakil rakyat dipilih oleh rakyat dan mandat telah diberikan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerajaan Negeri Sembilan sedang menyediakan draf bagi pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
Beliau turut berharap kerjasama antara ADUN kerajaan dan pihak yang tidak bersama kerajaan dapat diteruskan demi memastikan apa jua keperluan rakyat dapat disantuni.
“Walaupun kerajaan Negeri Sembilan walaupun tidak mempunyai Exco ketika ini tetap menyediakan draf bagi pembentangan belanjawan negeri.
“Kita mahu mandat yang diberikan itu dilaksanakan kerana rakyat mengharapkan kerajaan negeri yang ada tidak menjadi sebuah kerajaan yang tergantung.
“Mereka mahu agensi dan jentera kerajaan berjalan seperti biasa atau bertambah baik. Yang penting, manifesto harus diterjemahkan pelaksanaannya dan permasalahan yang ada didepani dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sebelum ini, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaan baginda terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim ketika bertemu selepas solat Jumaat di sebuah masjid di Kuala Pilah, baru-baru ini.
Menerusi video yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz juga enggan menerima menghadap ADUN Juasseh itu dan mendakwa Ismail sebelum ini menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. – UTUSAN











