McDONALD’S Malaysia menyantuni dan berkongsi keceriaan bersama Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Persatuan Kanak-Kanak Trinity Selangor dan Yayasan Sunbeams Home sempena meraikan ulang tahun ke-10 Bulan Komuniti Mekdi.
Sambutan bersama anak-anak untuk meraikan hari jadi yang istimewa bersama-sama di McDonald’s Pandu-Lalu Seksyen 3, Shah Alam sebagai komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat.
Malah, pada tahun ini, lebih 100 restoran McDonald’s mengambil bahagian menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan 140 rumah kebajikan di seluruh negara.

Sepanjang 10 tahun pelaksanaannya, Bulan Komuniti Mekdi menjadi antara inisiatif utama McDonald’s Malaysia dalam mendekati masyarakat, mencerminkan semangat keprihatinan yang menjadi sebahagian daripada identiti jenama.
Sambutan hari jadi diadakan sama ada di rumah kebajikan atau di restoran McDonald’s untuk berkongsi keceriaan bersama anak-anak, khususnya mereka yang mungkin belum pernah diraikan melalui sambutan sebegini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menjadi antara teras McDonald’s Malaysia.
“Sepanjang 10 tahun Bulan Komuniti Mekdi, pasukan restoran kami meluangkan masa bersama anak-anak dan para penjaga serta membina hubungan dengan rumah kebajikan di sekitar mereka. Kami mahu terus menjadi jiran yang prihatin dan hadir untuk masyarakat.
“Bulan Komuniti Mekdi juga memberi kami peluang untuk meraikan anak-anak yang mungkin belum pernah merasai sambutan hari jadi. Kami mahu mereka berasa diingati dan dihargai, serta berpeluang bergembira bersama kawan-kawan dan membawa pulang kenangan manis,” katanya.

Bagi menambah kemeriahan sambutan tahun ini, anak-anak turut diberi peluang untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa bagi rakan-rakan mereka.
Anak-anak dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras menghasilkan video ucapan hari jadi selepas mengikuti bengkel menghasilkan video, manakala anak-anak dari beberapa rumah kebajikan menghasilkan hadiah buatan tangan menerusi bengkel seni dan kraf.
Video dan hadiah tersebut menjadi sebahagian daripada sambutan hari ini, memberi sentuhan peribadi kepada pengalaman mereka.
Sempena Bulan Komuniti Mekdi, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) turut menyalurkan sumbangan tunai kepada rumah kebajikan terpilih di bawah JKM bagi membantu memenuhi keperluan kanak-kanak dalam jagaan mereka.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai memberitahu, Ronald McDonald House Charities (RMHC Malaysia) juga bekerjasama memberikan sumbangan kewangan kepada rumah-rumah kebajikan untuk keperluan seperti penyelenggaraan dan kemudahan.
“Mereka (anak-anak dari rumah kebajikan) sangat gembira dan banyak juga cerita yang kita dapat daripada mereka dan betul-betul memahami keperluan. Di samping itu dengan kerjasama RMHC Malaysia, kita memberi sokongan dengan sumbangan wang untuk rumah-rumah kebajikan yang ada di sini bersama kami.
“Kerana mereka memang memerlukanlah sumbangan tersebut bukan sahaja daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau RMHC Malaysia kerana sumbangan itu dapat digunakan untuk baik pulih dan pelbagai perbelanjaan pengurusan rumah-rumah kebajikan,” ujarnya.
Pengetua Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Jamaludin Wahab pula memaklumkan selain perasaan gembira dan teruja, anak-anak jagaannya berasa terharu kerana diraikan bersama kawan-kawan menjadikan sambutan ulang tahun mereka bersama McDonald’s amat bermakna.
“Kami berterima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan RMHC Malaysia atas perhatian serta sokongan yang diberikan kepada anak-anak dalam jagaan kami,” tuturnya.
Sejak diperkenalkan pada 2017, Bulan Komuniti Mekdi telah menjadi sebahagian daripada usaha teras McDonald’s untuk menyantuni masyarakat.
Setiap tahun, McDonald’s menjalankan 10,000 aktiviti komuniti di seluruh negara, membawa manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.
Bagi kanak-kanak dari Yayasan Sunbeams Home, Jane, 10, dia amat teruja dan seronok apabila berpeluang untuk berkunjung ke restoran McDonald’s seperti yang dirasai oleh kanak-kanak lain.
“Rasa gembira apabila dapat menyambut hari jadi bersama kawan-kawan di restoran McDonald’s kerana saya selalu terbayang bagaimana perasaan apabila dapat makan di sana setiap kali melihatnya ketika keluar. Akhirnya saya dapat datang juga ke restoran ini dan saya suka burger ayam McDonald’s,” luahnya yang berasal dari Kampung Orang Asli di Gua Musang.
Syifa, 11, dari Rumah Kasih Harmoni pula berkongsi bagaimana dia teruja dapat menyambut hari ulang tahunnya di restoran McDonald’s yang turut menganjurkan pelbagai aktiviti.
“Saya bercita-cita hendak menjadi juruterbang. Apabila berpeluang menyertai aktiviti bersama McDonald’s, saya berasa amat gembira dan teruja kerana boleh berkongsi cerita bersama kawan-kawan,” ujarnya. – UTUSAN











