2,740 pekerja Malaysia di Singapura pulang - Utusan Malaysia

2,740 pekerja Malaysia di Singapura pulang

Abdul Jalal Mohd Tahir, 58, gembira menyambut isterinya, Khadijah Ahmad , 54, dan anaknya, Mikayl Abdul Jalal, 22, yang terpisah hampir dua tahun tiba menggunakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) pada penerbangan pertama pesawat Singapore Airlines SQ108 yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 2,740 rakyat negara ini yang terkandas di Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac 2020 selamat tiba di tanah air semalam.

Ketibaan mereka secara berperingkat melalui udara dan darat itu hasil pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura, menamatkan penantian dan kerinduan terhadap ahli keluarga yang terpisah hampir dua tahun.

Suasana gembira dan sedih mengiringi pertemuan para pengembara terlibat bersama anak-anak, isteri dan ahli keluarga di terminal ketibaan darat di Larkin, Johor dan balai ketibaan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Hari pertama VTL, merekodkan sejumlah 1,300 pulang menerusi pengangkutan udara yang tiba di KLIA dan klia2 manakala 1,440 lagi tiba menerusi jalan darat di Larkin Sentral.

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, urusan perjalanan penumpang VTL udara semalam lancar sekali gus MAHB bersedia menerima lebih ramai lagi kedatangan pada hari berikutnya.

“Hari ini (semalam) kita dapat menyaksikan semula penerbangan dilakukan dan jumlah penumpang juga begitu besar. Kita berharap penumpang berpuas hati dengan laluan dan proses yang perlu dilalui,” katanya dalam sidang akhbar selepas ketibaan pesawat Singapore Airlines (SQ108) di KLIA di sini semalam.

Menurut beliau, MAHB bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan yang berkaitan sejak beberapa minggu lalu berhubung persediaan proses dan urusan melibatkan penumpang di bawah pelaksanaan VTL tersebut.

Pesawat pertama membawa 240 penumpang menggunakan pesawat Singapore Airlines (SQ108) tiba di KLIA pada pukul 9.20 pagi

Semalam sebanyak enam pesawat iaitu Singapore Airlines, Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, Jetstar Asia dan Scoot membawa 1,300 peserta VTL udara dari Singapura ke KLIA dan klia2.

Seorang penumpang, Nita Kaur, 50-an berkata, dia menanggis sebaik pesawat mendarat di KLIA kerana terkenangkan ayahnya yang tidak ditemui lebih setahun.

Nita berkata, sepanjang berada di Singapura, dia menghubunginya ayahnya menerusi panggilan video hampir setiap hari.

Khadijah Ahmad, 54, berkata, dia bersyukur apabila mengetahui kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan VTL tersebut.

“Hampir dua tahun sejak pandemik Covid-19, saya tidak pulang ke Malaysia. Rasa gembira dan tak sabar-sabar bertemu keluarga,” katanya.

Sementara itu, di Johor, seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama VTL darat tiba di Larkin Sentral dari Singapura menaiki bas TranStar pada pukul 9.10 pagi.

Kesemua mereka juga wajib menjalani ujian pengesanan pantas (RTK), On Arrival Test (OAT) Covid-19 semasa tiba Terminal Larkin Sentral.

Terdahulu, seramai lima warganegara Malaysia yang bertaraf permastautin tetap (PR) menggunakan VTL darat menaiki bas Causeway Link yang berlepas pukul 7.30 pagi menuju ke republik itu.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru. Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL darat hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.

Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia, manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.

Sepanjang tempoh seminggu ini, dijangka seramai 19,180 rakyat Malaysia di Singapura akan pulang ke tanah menerusi pelaksanaan VTL.

Dalam pada itu, Bali Anak Jalang, 36, yang tiba di Terminal Larkin Sentral sebak sebaik bertemu isteri, Donna Alicia, 34, serta lima anak mereka termasuk seorang bayi perempuan berusia lima bulan yang menunggu di terminal itu.

“Saya tak lena tidur malam tadi kerana terlalu ingin bertemu keluarga setelah lebih setahun tidak bersua muka. Lebih mengujakan, saya mahu melihat dan mendukung anak bongsu berusia lima bulan buat pertama kali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Kavin Raj Gunalan, 24, pula berkata, dia merancang membuat kejutan kepada keluarganya di Nusajaya dekat sini kerana mereka tidak mengetahui kepulangannya pada hari pertama VTL dilaksanakan.

Katanya, ibu dan neneknya bertanyakan sama ada dia akan pulang melalui skim VTL, namun dia memberitahu tidak pulang setelah kehabisan tiket bas.

Seorang suri rumah, Mushaibah Fauzi, 32, pula membawa gugusan belon menyambut kepulangan suaminya, Muhammad Wafi Akashah yang genap usia-32 tahun kelmarin.

Kata ibu kepada tiga anak itu, dia berasa gementar bercampur teruja untuk bertemu suaminya yang bekerja sebagai jurutera di Singapura sejak `terpisah’ hampir dua tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN