PETALING JAYA: Gurauan rogol meskipun dilakukan secara lisan tidak bermakna pelaku boleh terlepas daripada tindakan undang-undang kerana perbuatan tersebut adalah satu bentuk ugutan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
Perkara itu termaktub di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos justeru berkata, tidak timbul isu sama ada gurauan rogol secara lisan boleh terlepas tindakan daripada dikenakan undang-undang kerana beban pembuktian bergantung kepada keterangan saksi di mahkamah kelak.
“Negara ini mempunyai peraturan yang cukup untuk mendakwa pelaku atau suspek ke muka pengadilan. Maka tiada isu bahawa pelaku yang membuat gurauan lisan boleh terlepas tindakan undang-undang.
“Malah gurauan rogol berbentuk tulisan sama ada menerusi ruangan komen di media sosial tidak terlepas daripada tindakan undang-undang kerana pelaku boleh dihadapkan ke muka pengadilan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, isu membabitkan gangguan seksual ini kembali tular apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong memuat naik status di laman Twiternya bahawa dia pernah diganggu dengan gurauan lucah daripada seorang jurulatih.
Sebelum itu, timbul satu produksi yang menayangkan program bual bicara sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan isu rogol terhadap seorang selebriti wanita.
Dalam pada itu, Jahaberdeen menepis dakwaan bahawa gurauan rogol sukar dibuktikan di mahkamah memandangkan perkara itu bergantung kepada sebarang beban pembuktian sekali pun dibuat secara lisan.
Katanya, mangsa boleh mengemukakan saksi yang mendengar perbuatan menerusi keterangan di mahkamah bagi membuktikan elemen jenayah tersebut berlaku.
“Ketika kes dituduh di mahkamah, tiada pihak dibuktikan bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Perkara ini amat penting bagi mengimbangi antara suspek dan mangsa demi keadilan kedua-dua pihak.
“Mungkin ada pihak ingin menyalahgunakan aspek gurauan rogol walaupun tidak pernah berlaku. Jadi ini pentingnya undang-undang untuk membela rakyat daripada ketidakadilan,” katanya.
Kata beliau, ramai menganggap gurauan rogol sebagai benda kecil apabila terdapat golongan agama seolah-olah meremeh dan menjenakakan perbuatan tersebut.
“Walhal rogol ini bukan sahaja satu kejadian seksual tetapi satu keganasan, satu pencabulan maruah seorang manusia, satu perlakuan yang mencabuli kebebasan seorang. Maka ia sangat kejam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











