KUALA LUMPUR: Pembangkang perlu menampilkan perubahan dan idea baharu jika mahu mendapat semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, idea dan strategi itu harus dibincang kesemua presiden parti pembangkang termasuklah jawatan Ketua Pembangkang.
Katanya, jawatan tersebut boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang layak sebagai tawaran baharu untuk rakyat bagi mendapat hasil lebih baik dalam PRU-15.
“Dalam hal ini, semua pemimpin parti harus berfikiran terbuka. Kalau buat benda yang sama, strategi yang sama, hasil yang sama, saya bimbang kita tidak akan diterima lagi oleh rakyat.
“Sejujurnya, saya tidak boleh komen lebih isu jawatan ini, ia nampak seperti parti kecil ingin mengajar parti yang besar. Tetapi jawatan itu boleh diberi kepada sesiapa, Rafizi Ramli, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Nurul Izzah Anwar. Sesiapa sahaja.
“Kuncinya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, kalau dia berjiwa besar, ketepikan ego, meletakkan kepentingan kepada blok pembangkang, kenapa tidak,” soalnya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kewajaran sama ada jawatan Ketua Pembangkang perlu ditukar kepada pemimpin lain atau kekal di tangan Anwar.
Tambah Azis, pembangkang kini tidak mempunyai masa yang cukup untuk merangka strategi, sekali gus semua pihak perlu mengambil tindakan drastik agar setiap idea yang dikemukakan diterima baik oleh rakyat.
“Kita sudah tidak ada masa yang banyak. Jadi, untuk rakyat yakin dengan kita, apa idea baharu yang kita nak berikan kepada mereka? Ini perlu difikirkan,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah jawatan Ketua Pembangkang itu layak diberi kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Kalau saya cakap, nampak saya berat sebelah pula. Saya tahu, Datuk Seri Anwar adalah orang lama Ketua blok pembangkang, puluhan tahun, bukan dua tiga tahun. Dan kita tidak menidakkan hakikat itu.
“Tetapi apa perkara yang menjadi ‘wow factor’ kepada rakyat Malaysia untuk percaya kepada kita? Kita perlu bentangkan suatu perkara yang baru,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, seorang penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, isu jawatan Ketua Pembangkang bukan masalah besar yang harus dirungkaikan tetapi strategi mereka yang kurang tepat dalam menawan beberapa parti politik untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan.
“Saya tidak nampak siapa calon lebih layak untuk gantikan Datuk Seri Anwar. Tetapi pada saya kesilapannya adalah pada strategi.
“Apa yang saya lihat, Warisan sudah pun menyokong pembangkang. Jika strateginya mengena, mereka boleh menarik Gabungan Bersatu Sarawak (GBS) kerana mereka akan menyokong parti yang kuat serta UMNO kerana parti itu akan membawa haluan sendiri jika Bersatu dan Pas membuat onar.
“Jadi strategi yang diamalkan kini perlu diubah,” katanya. – UTUSAN










