KUALA LUMPUR: Pertemuan segera perlu diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pembangkang bagi membolehkan perbincangan lanjut diadakan mengenai tawaran untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu bagi menyusun gerak kerja dan strategi sekali gus meletakkan rakyat sebagai fokus utama dalam hal berkenaan.
“Saya berpandangan Perdana Menteri boleh mengadakan perbincangan atau pertemuan segera dengan Ketua Pembangkang serta kepemimpinan pembangkang untuk memperinci cadangan tersebut, sebelum kami memutuskan sama ada untuk turut serta atau sebaliknya.
“Perbincangan ini penting bagi memahami bentuk kerjasama atau kebersamaan yang dimaksudkan, agar pembangkang boleh melihat cara terbaik mencapai maksud dan matlamat sebenar iaitu menangani Covid-19, membantu menghidupkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Ismail Sabri dalam ucapannya menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Fahmi berkata, beliau tidak mahu penglibatan pembangkang hanya bersifat ‘tokenistic’ atau sekadar cukup syarat sahaja.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menyokong kenyataan Fahmi supaya membuat perbincangan diadakan segera.










