PETALING JAYA: Tindakan UMNO menggasak Perikatan Nasional (PN) atas alasan ahli parti itu kurang diberi jawatan dalam kerajaan adalah tidak wajar, sebaliknya hampir semua ahli Parlimen backbencher memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelbagai lagi.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengakui terlibat menggerakkan usaha agar ahli-ahli Parlimen mendapat jawatan, dan kini majoriti mereka telah ditempatkan dalam pelbagai sektor.
“Ini satu bentuk syak wasangka, kononnya mereka tak sokong sebab tak dapat jawatan dan sebagainya, jadi saya tak mahu komen. Tapi saya nak beritahu, hampir semua ahli Parlimen backbencher memegang jawatan-jawatan yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada mereka dalam GLC dan pelbagai lagi.
“Kita ada jawatan, saya di antara orang yang menggerakkan usaha ini untuk mereka dapat jawatan, jadi saya tahu. Boleh kata hampir semua, sebahagian besar dapat jawatan,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.
Dalam pada banyak pihak mempertikaikan tindakan PN yang didakwa enggan berkongsi kuasa dengan UMNO, Shahidan menegaskan bahawa perkara itu tidak benar kerana UMNO diberi ruang yang cukup besar bagi mendominasi PN.
“Ya, sekarang ini kita ada berkata, (kerajaan Melayu-Islam) yang terbesar pun tak guna sebab UMNO tidak pegang apa-apa jawatan penting. Padahal sekarang orang yang paling banyak duduk dalam Kabinet adalah UMNO-BN, 21 kerusi.
“Bersatu kurang lagi, Pas cuma tiga orang menteri, GPS pun tiga. Jadi yang paling besar adalah UMNO. Ia adalah parti dominan dalam kerajaan PN. Jadi kalau tak kena di mana-mana, bukan kerajaan itu yang patut dipersalahkan, tapi kena tanya wakil UMNO lah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berkata, UMNO harus bertanggungjawab terhadap prestasi PN dalam menguruskan wabak.
Katanya, ini susulan majoriti menteri dan timbalan dalam kerajaan adalah dalam kalangan ahli UMNO.
“Sesetengah orang kata, kerajaan sekarang yang terburuk. Saya beri contoh ada seorang kawan saya dari Kedah, dia kata kerajaan ini terburuk.
“Sedangkan sekarang, ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan, tanyalah dia terburuk macam mana? Seramai 21 orang (ahli Parlimen) bukan sedikit,” katanya. – UTUSAN











