PETALING JAYA: Dianggarkan 580,000 perniagaan mewakili 49 peratus sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan lumpuh menjelang Oktober ini sekiranya masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penutupan perniagaan ini yang kebanyakannya dalam kategori ‘pertama ditutup terakhir dibuka’ (FCLO) turut memberi implikasi lebih tujuh juta rakyat dijangka menganggur.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada masa ini, PKS tempatan menyumbang hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Dengan jangkaan setiap pekerja yang mempunyai rata-rata dua orang tanggungan, ia bermakna 14 juta orang lagi akan terjejas.
“Ini realiti yang dihadapi PKS tempatan. Adalah perlu tindakan pemulihan dapat diambil untuk mengatasi masalah ini.
“Kegagalan menyelesaikan isu ini akan membawa kesan buruk landskap sosioekonomi negara sekali gus mempengaruhi keseluruhan kesejahteraan dan kesenangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tinjauan dilakukan pada 15 hingga 28 Jun lalu dilaksanakan untuk mengukur kesan PKP 3.0 terhadap landskap keusahawanan di Malaysia.
Sebanyak 6,664 responden dari seluruh negara mengambil bahagian dalam tinjauan itu dan mendapati banyak perniagaan mengalami sindrom ‘keletihan perniagaan’ serta hilang keyakinan akibat penutupan operasi.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, lebih kurang satu pertiga daripada responden mengatakan mereka tidak menerima pelbagai bantuan yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau dalam masa yang sama turut mendedahkan masalah mental antara fokus dalam tinjauan itu dan mendapati hampir 60 peratus usahawan mempunyai satu simptom masalah mental ekoran penutupan operasi perniagaan mereka.
“Tiga faktor utama yang mempengaruhi keadaan kesihatan mental usahwan termasuk penurunan dan kehilangan pendapatan, hutang dan masalah pembiayaan serta risiko penutupan perniagaan.
“Ramai pengusaha ini bimbang masa depan mereka sehingga menyumbang kepada tahap tekanan yang lebih tinggi sekali gus mempengaruhi mental dan emosi mereka,” jelasnya.
Tambah Wan Junaidi, lebih daripada 90 peratus pengusaha ini tidak memiliki insurans dan 70 peratus tidak memiliki jaminan perlindungan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.
“Kesan penutupan tidak hanya mempengaruhi aspek ekonomi tetapi juga aspek sosial. Saya bimbang perniagaan tidak dibenarkan untuk beroperasi lebih lama dan mengambil masa untuk pulih.
“Orang ramai semakin tidak berpuas hati kerana masalah kewangan dan juga tidak dapat bersosial. Sudah tiba masanya kita melihat langkah holistik bagaimana menangani perkara ini selain daripada melaksanakan PKP,” jelasnya. – UTUSAN










