PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengambil langkah bersiap-siaga terhadap situasi hospital di Kedah berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu bagi memastikan sistem kesihatan di negeri berkenaan tidak lumpuh.
“Kita ambil berat keadaan di Kedah. Pada tujuh hari kebelakangan ini berlaku peningkatan tinggi kes positif dan kita mengambil langkah berjaga-jaga.
“KKM telah membuat persediaan dalam semua sudut dan tahap kesiapsiagaan adalah terbaik. Saya telah mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah untuk memantau situasi ini,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan semua wad hospital kerajaan di Kedah secara umumnya berada pada tahap penuh iaitu melebihi 75 peratus daripada kapasiti yang mampu ditampung ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo yang memberitahu Hospital Kulim dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani mencatatkan jumlah pesakit yang paling ramai.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemudahan untuk pesakit Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan hampir mencapai kapasiti maksimum manakala penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kulim memang sudah mencecah 100 peratus manakala wad Covid-19 juga sudah hampir mencecah 100 peratus, begitu juga Hospital Sultan Abdul Halim.
Sejak seminggu lalu, berlaku peningkatan kes positif di negeri ini apabila sebanyak 800 kes baharu dicatatkan di negeri ini kelmarin dengan Kuala Muda mencatatkan jumlah kes aktif tertinggi iaitu 3,745 diikuti Kulim dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,430.
Othman berkata, berikutan keadaan semasa, terdapat kes di Kulim yang terpaksa dimasukkan ke hospital-hospital hibrid lain yang masih memiliki kekosongan, antaranya dipindahkan ke Hospital Sik dan Baling. – UTUSAN










