PETALING JAYA: Sudahlah terdesak ingin dapatkan wang, terpaksa pula tanggung kerugian akibat terjebak dengan tawaran pinjaman tidak wujud.
Itu situasi kerap menimpa golongan yang disenarai hitam bank dan baki gaji kecil tetapi terdesak memerlukan wang segera.
Mangsa bukan sahaja terpedaya dengan ejen atau orang tengah yang menjanjikan pinjaman dengan syarat mudah dan kadar faedah rendah sehingga ada yang sanggup meminjam wang daripada orang lain termasuk ‘lintah darat terlebih dahulu untuk dijadikan modal membayar wang pendahuluan kepada sindiket terbabit.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din (gambar) berkata, 21,008 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kegiatan pinjaman tidak wujud itu membabitkan kerugian RM208 juta dalam tempoh lima tahun sejak 2017 sehingga 20 Jun lalu.
Daripada jumlah itu, terdapat peningkatan kes dilaporkan setiap tahun yang mana sebanyak 3,463 kes dicatatkan pada 2017 diikuti 2018 (4,257 kes), 2019 (5,040 kes), 2020 (5,718 kes) dan 2,530 kes lagi dicatatkan dalam tempoh enam bulan tahun ini.
“Dalam tempoh sama juga, sebanyak 9,759 tangkapan dilakukan dengan 5,832 ahli sindiket dituduh di mahkamah.
“Sindiket penipuan ini tiada sasaran khusus dan sekadar mencuba nasib dengan sesiapa yang dianggap mudah terpedaya taktik mereka.
“Risikan mendapati, kebanyakan mangsa pinjaman tidak wujud ini adalah mereka yang mahu membayar hutang selain ingin mencari wang untuk memulakan perniagaan,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Mengulas modus operandi sindiket itu, Mohd. Kamarudin memberitahu, tindakan institusi kewangan yang mengenakan syarat ketat menyebabkan mereka mengambil kesempatan dengan menawarkan pinjaman tidak munasabah menerusi iklan di media sosial.
Tambahan pula, kata beliau, sejak pandemik Covid-19 melanda semakin ramai orang kehilangan kerja dengan sektor perniagaan terjejas teruk menyebabkan ramai terdesak mendapat duit segera.
“Sindiket ini licik, mereka akan tawarkan pinjaman kewangan di laman sosial sehingga menyebabkan mangsa tertarik dengan iklan dipromosikan.
“Mereka yang terpedaya kemudian mengisi borang dalam talian selain memberi beberapa dokumen seperti salinan kad pengenalan, slip gaji, penyata bank dan bil utiliti sebelum sindiket terlibat menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp untuk memberitahu pinjaman telah lulus.
“Bagaimanapun, bagi mendapatkan pinjaman tersebut, mangsa perlu bayar wang pendahuluan kononnya sebagai wang jaminan (security deposit), yuran guaman dan stamping agreement,” ujarnya.
Tidak terhenti begitu sahaja, dedah Mohd. Kamarudin, sindiket kemudian membuat pelbagai alasan berbeza dan mengarahkan mangsa untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun lain.
“Tanpa ragu-ragu, ramai mangsa membuat bayaran tersebut namun selepas pembayaran dibuat, wang pinjaman yang dijanjikan tidak diterima malah ejen tersebut tidak dapat dihubungi.
“Terdapat beberapa kes, yang mana jumlah yang dibayar kepada sindiket adalah lebih besar daripada nilai yang dipinjam,” jelasnya.
Kata beliau, pelbagai usaha dilakukan PDRM untuk menangani kes penipuan tersebut namun aspek pencegahan kesedaran masyarakat perlu dititikberatkan selain tindakan pembanterasan polis.
“Beberapa tips boleh digunakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa iaitu jangan mudah percaya dengan iklan tawaran promosi pinjaman dengan tawaran kadar faedah rendah dan proses permohonan segera tanpa syarat ketat.
“Selain itu, hadir secara fizikal ke institusi perbankan atau kewangan berlesen sahaja. Ingat, tiada sebarang bayaran wang akan dikenakan sebelum permohonan diluluskan.
“Ingin diingatkan juga, usah sesekali memberikan maklumat peribadi atau akaun bank dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) kepada mana-mana individu tidak dikenali,” katanya. – UTUSAN











