PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira sembilan bulan meninggal dunia akibat Covid-19 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Taman Selaseh malam tadi.
Perkara itu dikongsi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Facebook dengan memaklumkan difahamkan ibu kepada bayi itu sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.
Menurut maklumat Jawi lagi, bapa bayi berkenaan dan lapan lagi anak pasangan itu sedang menjalani kuarantin di rumah.
“Ya Allah…sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah Covid-19 bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak, Taman Selaseh.
“InsyaAllah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” tulis Jawi di Facebook.
Februari lalu, dilaporkan seorang bayi berusia empat bulan antara 17 kes kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di negara ini. Mangsa termuda itu membabitkan kes meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.
Pada 3 Jun lalu pula, Kementerian Kesihatan melaporkan, tiga kes kematian Covid-19 yang melibatkan kanak-kanak di bawah lima tahun dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullahberkatam bilangan yang sama telah direkodkan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu tiga kematian dalam lima bulan pertama bagi tahun 2021.- UTUSAN










