9 strategi tangani Covid-19 di Lembah Klang - Utusan Malaysia

9 strategi tangani Covid-19 di Lembah Klang

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan merangka sembilan strategi bagi meng­hadapi situasi kritikal di Lembah Klang yang menyaksikan bila­ngan pesakit Covid-19 meningkat setiap hari.

Dengan pertambahan kes aktif berjumlah 66,084 kes, 905 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 443 memerlukan bantuan pernafasan setakat kelmarin.

Selangor mencatat kes ha­rian jangkitan Covid-19 sebanyak 3,047 kes semalam manakala Kuala Lumpur 616 kes.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil sembilan langkah kesiapsiagaan bagi membantu negara dalam menangani situasi berkenaan.

Menurut beliau, selain me­ningkatkan kapasiti katil di hos­pital Covid-19 penuh dan di hospital hibrid, beberapa lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu dibuka bagi menampung jumlah pesa­kit yang perlu dikuarantin.

Beliau berkata, PKRC baharu itu ialah PKRC Grand Season Hotel dan PKRC UiTM Dengkil dengan masing-masing jumlah kapasiti katil sebanyak 1,200.

“KKM turut menggunakan PKRC swasta khas untuk pesakit warga asing dengan bantuan kerajaan negeri bagi pengoperasian beberapa pusat PKRC se­perti di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur serta Hotel Saujana & Bangi Resort, Selangor,” katanya di sini semalam.

Dr. Adham berkata, ke­upayaan Hospital Kuala Lumpur yang merupakan hospital hibrid dipertingkatkan untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5 dengan memperuntukkan 700 katil bukan ICU kepada 800 katil serta 72 katil ICU khusus bagi rawatan Covid-19.

Kata beliau, Hospital Ampang pula dijadikan sebagai hospital full Covid-19 iaitu khusus untuk merawat pesakit wabak itu sepenuhnya, kecuali Jabatan Hematologi dengan kapasiti 500 katil.

Selain itu, katanya, kapasiti Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga ditingkatkan yang pada ketika ini mempunyai 379 katil dan 57 katil ICU.

“Begitu juga kapasiti Hospital Selayang ditambah sebanyak 120 katil lagi yang setakat ini berjumlah 327 katil dan 32 katil ICU,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Adham berkata, KKM bekerjasama dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk me­laksanakan mobilisasi anggota kesihatan dari hospital swasta khususnya jururawat dan pakar.

Beliau memberitahu, pertambahan mobilisasi tenaga kerja dari lain-lain hospital universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi turut dilaksanakan untuk pengoperasian penuh Hospital Pakar Kanak-kanak UKM yang berkapasiti sebanyak 200 katil.

Jelasnya, seramai 60 jururawat tambahan dari hospital pengajar universiti yang lain dikenal pasti untuk ditempatkan di hospital berkenaan termasuk tambahan pakar dan anggota kesihatan terlatih bagi merawat pesakit kategori 4 dan 5.

“Kita turut menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) sebagai hospital Covid-19 dengan kapasiti 400 katil dan Hospital UiTM berkapasiti 400 katil bagi me­rawat pesakit bukan Covid-19 sebagai langkah membolehkan peningkatan kapasiti hospital lain yang merawat Covid-19,” katanya.

Dr. Adham turut memberi jaminan permohonan hospital-hospital Covid-19 untuk bekalan tambahan peralatan perubatan telah pun diluluskan dan diagihkan ke hospital-hospital berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini