Perluaskan moratorium kepada M40, T20 - Utusan Malaysia

Perluaskan moratorium kepada M40, T20

PEMINJAM institusi kewangan dari golongan B50 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh memperoleh manfaat pengecualian faedah pinjaman untuk tempoh tiga bulan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tawaran moratorium automatik tiga bulan wajib diperluaskan kepada golongan M40 serta T20 dan bukan hanya membabitkan kumpulan B40 semata-mata kerana pelaksanaan perintah total lockdown yang sedang berjalan memberi kesan kepada seluruh rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, pemberian moratorium itu perlu dilaksanakan secara pukal kerana industri perbankan tidak akan mengalami kerugian.

Menurut beliau, langkah itu juga dilihat positif khususnya dari segi penjanaan ekonomi
iaitu apabila rakyat ada wang mereka akan berbelanja dan duit tersebut akan kembali masuk ke dalam kitaran ekonomi domestik.

Selain itu, kata Dr. Rusdi, beberapa inisiatif lain seperti pelaksanaan PKP 1.0 sepatutnya terus disambung semula termasuk tawaran i- Sinar dan i- Lestari.

“Bagaimanapun i- Sinar atau i-Lestari perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan seperti hilang kerja untuk mereka bangkit berjuang buat sementara waktu.

“Secara keseluruhan pakej bantuan terbaharu Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu baik namun perlu penambahbaikan khususnya dari segi pemberian moratorium secara pukal.

“Dalam tempoh total lockdown bukan sekadar B40 terjejas tetapi mereka dalam kumpulan M40 dan T20 juga ramai yang terkesan,” katanya.

Dr. Rusdi berkata, kerajaan tidak boleh mengabaikan golongan berpendapatan sederhana sebab mereka tidak banyak berbeza dengan golongan B40 yang selalu mendapat ‘perhatian’ daripada kerajaan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, tawaran moratorium automatik kepada B40 hingga T20 tidak akan merugikan mana-mana bank.
Menurut beliau, bukti seperti tahun ini, belum ada bank yang merekodkan kerugian kecuali alami sedikit susut nilai keuntungan berbanding sebelum tawaran moratorium.

“Kedudukan kewangan institusi kewangan masih ampuh dan kukuh, jadi mereka masih mampu membuat serapan moratorium lebih meluas dan lebih lama.
“Jadi seharusnya pihak perbankan berkorban demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat yang sedang menempuh dugaan besar akibat wabak penyakit berjangkit,” kata beliau ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Dr. Baharom berkata, pelaksanaan total lockdown kali ini diharap benar-benar ‘masak’ dan seterusnya ancaman Covid-19 dapat dihapuskan dan bukannya kerajaan akan terus mengumumkan beberapa lagi siri total lockdown.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Dr. Madeline Berma juga sependapat bahawa moratorium secara automatik patut diperluaskan kepada M40 dan T20 bukan hanya untuk tempoh tiga bulan tetapi hingga hujung tahun.

“Jika ada moratorium membolehkan isi rumah dan peniaga memulihkan semula ekonomi masing-masing terlebih dahulu dan kemudian membuat bayaran pinjaman,” kata beliau.
Jelas Madeline lagi, kebanyakan yang bergelar M40 membabitkan pegawai kerajaan, profesional dan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sebelum ini memacu ekonomi Malaysia.

“Jadi bila negara melaksanakan total lockdown, kumpulan M40 pun terkesan, jadi kerajaan patut bantu mereka juga dan bukan hanya fokus kepada B40 semata-mata,” kata beliau yang juga menolak dakwaan institusi perbankan akan rugi.

Sementara itu, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr. Muhammad Hafiz Yaakub berkata, moratorium bukan bermaksud bank kehilangan bayaran balik tiga bulan tersebut, tetapi tempoh pinjaman dilanjutkan

“Selama ini bank telah mencapai tahap keuntungan yang tinggi. Pendapatan bank-bank yang terkumpul mampu menjadi ‘cushion’ ketika saat sukar ini. Oleh itu, bank hanya akan kehilangan caj faedah melalui moratorium selama tiga bulan.

“Di sinilah kita harap pihak institusi perbankan dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya kepada komuniti,” kata beliau.

Di Putrajaya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan kerajaan mengabaikan golongan M40 kerana pakej rangsangan sebelum ini turut dinikmati kumpulan itu.

“Bermula Belanjawan 2021, seterusnya pakej bantuan PERMAI, PEMERKASA sehinggalah kepada PEMERKASA Plus, pelbagai bantuan disalurkan kepada golongan M40.

“Antaranya, program subsidi upah, moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman, penurunan kadar cukai pendapatan satu peratus dan Sistem Insuran Pekerjaan Prihatin.

“Benarkah bantuan kerajaan hanya ditumpukan kepada golongan B40 manakala golongan M40 sentiasa diabaikan? Tidak benar,” kata beliau menerusi Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-55 semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×