PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 6,045 kes semalam yang menunjukkan kadar jangkitan merebak secara pantas menerusi kemunculan varian-varian baharu Covid-19.
Lebih membimbangkan apabila negara kini sedang berdepan dengan penyebaran dua lineage Covid-19 dan variant of concern (VOC) Afrika Selatan B.1.351 yang sangat bahaya dan mula menjangkiti komuniti dengan pantas.
Varian baharu dan dua lineage Covid-19 ini dipercayai berisiko melemahkan antibodi semua peringkat umur apatah lagi dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda selepas menyerang kumpulan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kes-kes membabitkan varian B.1.351 dikesan sedang merebak dengan pantas dan kini merekodkan sebanyak 62 kes di seluruh negara setakat 17 Mei lalu.
Menurut beliau, dua lineage yang turut mengancam komuniti ialah lineage Malaysian B.1.524 (sebanyak 203 kes) dan lineage Indonesian B.1.466.2 (42 kes), manakala lain-lain penyebaran lineage (86 kes).
“Kedua-dua lineage ini adalah yang paling banyak ditemui di Malaysia masa ini selain VOC Afrika Selatan B.1.351 dan VOC UK B.1.17 (lapan kes).
“Lineage B.1.524 mula dikesan di Sabah pada September 2020 selepas kluster Benteng-LD manakala lineage B.1.466.2 mulai dikesan di Sarawak pada Januari lalu,” kata beliau di sini kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Stadium Malawati di Shah Alam semalam mendapati pesakit yang positif Covid-19 berasak menunggu giliran untuk dinilai tahap keseriusan jangkitan di pusat berkenaan oleh petugas kesihatan.
Turut kelihatan dalam kalangan anak beranak, warga emas berkerusi roda, bertongkat dan uzur berada di pusat berkenaan menunggu untuk diberi rawatan.
Dr. Adham berkata, sehingga 17 Mei lalu, terdapat 72 kes dikesan membawa jangkitan VOC dan daripada jumlah tersebut, pengesanan 62 kes VOC Afrika Selatan B.1.351 adalah jangkitan tempatan yang ditemui di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak.
Selain itu, kata beliau, lapan lagi kes VOC UK B.1.1.7 dikesan dengan lima melibatkan kes import dan tiga kes jangkitan tempatan iaitu di Selangor (dua kes) dan di Sabah (satu kes).
Beliau berkata, terdapat juga dua kes import VOC India B.1.617 yang dikesan semasa penyaringan pintu masuk antarabangsa.
Varian B.1.351 yang mula dikesan di Afrika Selatan telah merebak ke sekurang-kurangnya 31 negara lain dengan negara terbabit paling teruk terjejas di benua itu dan merekodkan lebih satu juta dijangkiti manakala lebih 26,000 kematian dicatatkan.
Kadar kebolehjangkitan bagi varian itu adalah 50 peratus dan lebih mudah merebak selain amaran ancaman varian tersebut dikatakan boleh melemahkan keberkesanan vaksin.
Susulan itu, Dr. Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuhkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes mendadak dengan mengambil kira peningkatan kes dan kewujudan varian baharu di negara ini iaitu membuat semakan semula terhadap tindakan kesihatan awam.
Kata beliau, sebanyak 25 strategi tindakan diambil kerana gelombang ketiga yang dihadapi ketika ini lebih ganas dan kritikal apatah lagi kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan anggota masyarakat menjadi cabaran utama dalam menanganinya.
Menurutnya, antara tindakan itu ialah meningkatkan kapasiti makmal bagi ujian pengesanan Covid-19 dengan penglibatan makmal swasta, universiti dan agensi lain kepada 100,000 setiap hari berbanding hanya 70,000 serta meningkatkan kapasiti survelan genom virus SARS-CoV-2 dengan penglibatan makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), universiti dan swasta.
“Semua hospital di Malaysia bersedia untuk menerima dan merawat kes Covid-19 dan secara langsung meningkatkan kapasiti wad serta unit rawatan rapi (ICU) dari 743 katil kepada 1,300 katil selain ‘Modular ICU’ diwujudkan di beberapa buah hospital dengan kapasiti terhad.
“Penglibatan hospital swasta dan hospital pengajar/universiti bagi meningkatkan kapasiti merawat kes serta meningkatkan bilangan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi merawat kes kategori 1 dan 2,” katanya.
Selain itu, Dr. Adham memberitahu, KKM melalui kolaborasi kukuh dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menambahkan kapasiti katil Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk merawat kes-kes bukan Covid-19 termasuk katil ICU di kawasan yang mencatatkan beban kes tinggi bagi membolehkan hospital KKM memberi fokus kepada rawatan kepada pesakit Covid-19.
Dalam masa sama, katanya, ATM dan KKM mengoperasikan hospital medan di beberapa lokasi seperti Hospital Medan ATM di Kapit, Sarawak, mengatur gerak aset hospital Medan bagi dijadikan ICU medan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang semalam selain mengatur gerak aset-aset hospital medan di Kelantan bagi membantu meningkatkan kapasiti bagi merawat kes-kes yang memerlukan rawatan dalam wad.
“Mengukuhkan kawalan sempadan khususnya pengembara yang masuk ke Malaysia dari negara-negara dengan penularan varian baharu dengan melanjutkan tempoh kuarantin wajib dari 10 kepada 14 hari mulai 28 April lalu.
“Selain daripada 251,000 anggota tetap, KKM telah diluluskan 39,000 petugas kontrak dengan lebih 8,000 adalah petugas kesihatan yang dilantik secara kontrak khusus untuk skop kerja berkaitan pandemik Covid-19,” katanya.
Dr. Adham berkata, KKM juga memobilisasikan petugas kesihatan dan bukan kesihatan di lapangan dan dari negeri yang kurang terkesan dengan jangkitan ke negeri yang menghadapi peningkatan kes jangkitan, contohnya, sejumlah 648 petugas kesihatan dari negeri lain dimobilisasikan ke Sarawak dan sejumlah 366 petugas kesihatan lagi dimobilisasikan ke Kelantan.
Beliau turut memberitahu, pelbagai aktiviti penyelidikan dijalankan meliputi penyelidikan klinikal, penyelidikan epidemiologi dan kesihatan awam, penyelidikan makmal, penyelidikan tingkah laku dan lain-lain penyelidikan berkaitan Covid-19 bagi membolehkan KKM mengatur aktiviti dan strategi berdasarkan bukti-bukti saintifik.
Sehingga kini, katanya, terdapat lebih 400 penyelidikan sedang dijalankan termasuk kajian pasca-vaksinasi bagi melihat keberkesanan vaksinasi diberikan kepada populasi Malaysia selain pihak IMR dalam usaha membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 iaitu jenis mRNA dan ‘inactivated’ – Generation of a RNA-based vaccine for COVID-19 dan Development of Inactivated COVID-19 Vaccine.
“Bagaimanapun, strategi-strategi tersebut tidak berkesan sekiranya SOP tidak dipatuhi dan norma-norma baharu tidak diamalkan oleh semua masyarakat dan berharap pelaksanaan PKP hingga 7 Jun ini dapat mengurangkan kecerunan kenaikan bilangan kes,” katanya. – UTUSAN










