Sejak 1980 saya dah kata – Abdul Hamid - Utusan Malaysia

Sejak 1980 saya dah kata – Abdul Hamid

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menyuarakan beberapa peruntukan undang-undang jenayah syariah termasuk berkaitan kesalahan luar tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Hamid berkata, beliau pernah menyuarakan mengenai perkara itu sejak 1980.

“Sejak 1980 saya dah kata peruntukan itu bercanggah dengan Perlembagaan.

“Masalahnya tak faham atau tak mahu terima kenyataan. Tunggu rencana saya,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu berkaitan kesalahan persetubuhan hukum tabii tidak sah.

Ini kerana kuasa untuk menggubal undang-undang sedemikian hanya terletak pada Parlimen dan bukannya pada badan perundangan negeri.

Menurut Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim, persoalan utama yang perlu diselesaikan ialah bagaimana dua undang-undang berbeza; sivil dan syariah, diamalkan dalam ruang lingkup masing-masing.

Tengku Maimun dalam penghakimannya berkata, perundangan negeri di Malaysia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan yang bertentangan ajaran agama Islam.

Bagaimanapun, kuasa itu dibatasi Perlembagaan.

Turut membuat keputusan sebulat suara itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Panel terbabit membuat keputusan itu dalam permohonan seorang lelaki mencabar perlembagaan peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang mendakwanya atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Lelaki itu sebelum ini didakwa dengan pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Dia kemudian mencabar pertuduhan tersebut dengan memfailkan petisyen dan memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai tidak sah.

Mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×