72 rakyat Malaysia diselamatkan daripada sindiket scam di India

72 rakyat Malaysia diselamatkan daripada sindiket scam di India

SEORANG lelaki ditahan pihak berkuasa Delhi bagi membantu siasatan.-UNIT CAWANGAN KHAS POLIS DELHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Delhi menyelamatkan 164 warga asing termasuk 72 rakyat Malaysia yang dipercayai dikurung secara haram dan dipaksa menjalankan kegiatan penipuan dalam talian oleh sindiket siber antarabangsa di ibu negara India. 

Operasi itu sekali gus mengesahkan pendedahan Utusan Malaysia sebelum ini mengenai lebih 100 rakyat Malaysia yang dipercayai terkandas di India selepas diperdaya tawaran pekerjaan sebelum dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.

Menurut Cawangan Khas Polis Delhi, kesemua mangsa terdiri daripada warga Malaysia dan Indonesia yang dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan serta prospek kerjaya lebih baik di negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, sebaik tiba di India, mereka didakwa menjadi mangsa eksploitasi apabila pasport dirampas, pergerakan dikawal dan dipaksa menjalankan penipuan siber dengan menyasarkan rakyat di negara asal masing-masing.

“Mangsa dipercayai ditempatkan di rumah penginapan sebelum dipaksa bekerja dalam operasi penipuan yang menawarkan skim pelaburan palsu,” kata pasukan polis itu.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun berasal dari Negeri Sembilan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia antarabangsa dan penipuan siber itu.

“Kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas Cawangan Jenayah Delhi menerima emel amaran mengenai kewujudan operasi perhambaan siber itu kira-kira seminggu lalu,” katanya.

Seorang pegawai kanan polis berkata, pihaknya kemudian menjalankan risikan bagi mengesan rangkaian sindiket berkenaan.

“Maklumat risikan awal menunjukkan kira-kira 60 hingga 70 warga asing dipercayai dikurung dan dipaksa bekerja dalam operasi penipuan siber itu.

“Bagaimanapun, ketika pasukan polis menyerbu premis yang disyaki, mereka menemui kumpulan jauh lebih besar sebelum berjaya menyelamatkan 164 individu,” jelasnya.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan hasil siasatan awal turut mengenal pasti dua individu, Sunil Kumar dan Sushil Bhati, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi sindiket berkenaan.

Dakwa laporan itu, Bhati didakwa bertanggungjawab menguruskan rumah penginapan serta kemudahan pengangkutan untuk mangsa manakala kedua-duanya kini masih dikesan polis.

“Pihak berkuasa turut mengenal pasti beberapa akaun bank yang dipercayai dikendalikan Kumar dan Bhati bagi membayar sewa serta menampung perbelanjaan operasi sindiket.

“Penyiasat kini meneliti transaksi kewangan terbabit bagi mengesan aliran wang, pihak yang menerima keuntungan serta hasil kegiatan penipuan siber berkenaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, rakyat Malaysia yang sedang disoal siasat bagi mengenal pasti peranannya dalam operasi itu selain hubungannya dengan anggota sindiket lain serta penglibatannya dalam mengendalikan platform penipuan berkenaan.

“Polis turut merampas sejumlah besar peralatan digital yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan siber itu.

“Antara barangan yang dirampas ialah 355 telefon bimbit, 168 komputer meja, 26 komputer riba, 53 kad SIM dan 174 pasport,” jelasnya.

Pada 13 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan rakyat Malaysia yang berusia antara 19 hingga 30-an itu dipercayai diperangkap menerusi tawaran pekerjaan dalam bidang multimedia dan pemasaran dengan gaji lumayan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di India, mereka didakwa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ de­ngan menyasarkan mangsa di Malaysia.

Lebih membimbangkan, pas­­port mereka dipercayai dipegang sindiket, menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke tanah air.

Mangsa juga mendakwa me­­reka diminta membayar se­­hingga RM20,000 kepada sin­diket sekiranya mahu mendapatkan semula pasport ma­sing-masing.

Perkara itu didedahkan se­orang mangsa, Muhammad Shafiq Bahri Mohd. Saifol Bahri, 31, yang mendakwa ber­jaya melarikan diri daripada sindiket terbabit sebelum mendapatkan bantuan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Ting­gi Malaysia di New Delhi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini