Ekonomi bumiputera perlu dilonjak - PM - Utusan Malaysia

Ekonomi bumiputera perlu dilonjak – PM

MUHYIDDIN YASSIN GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : AZMAN (UTUSAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan sosioekonomi bumiputera masih perlu dilonjakkan meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, secara perbandingannya, tahap kemiskinan bumiputera adalah sebanyak 7.2 peratus pada tahun lalu berbanding kaum lain.

Beliau berkata, kadar pengangguran bumiputera bagi suku kedua tahun ini pula adalah sebanyak 5.2 peratus berbanding Purata Nasional sebanyak 5.1 peratus.

“Berikutan itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperbaharui dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera.

“Majlis ini dipengerusikan oleh saya dan dianggotai beberapa anggota Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, ketua syarikat milik kerajaan (GLC) dan tokoh perniagaan bumiputera,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk Razali Idris yang meminta Perdana Menteri menyatakan pelaksanaan MKB yang dilihat dijadikan platform tertinggi dalam usaha memperkasakan pembangunan sosioekonomi bumiputera.

Muhyiddin berkata, pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat pula cuma berada pada tahap 16.2 peratus pada 2015 berbanding bukan bumiputera 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata, MKB bertindak sebagai platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera.

“Penubuhan majlis berkenaan juga adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program,” katanya.

Kata Perdana Menteri, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja bagi memastikan penubuhan majlis berkenaan mencapai objektifnya.

Katanya, kedua-dua jawatan kuasa berkenaan bersidang secara berkala membabitkan semua agensi pelaksana berkaitan.
“Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) diberi mandat sebagai agensi penyelaras utama bagi intervensi strategik, inisiatif dan program pembangunan sosioekonomi bumiputera serta pembangunan pangkalan data yang merentasi kesemua kementerian, agensi dan GLC.

“Kerajaan akan memperkemas dan menambah baik pangkalan data berpusat bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik yang dipacu oleh MKB ini.

“Pencapaian kementerian, agensi dan GLC dalam mengerakkan agenda pemerkasaan bumiputera akan dipantau dan dinilai melalui satu rangka kerja ‘Key Perfomance Indicator (KPI)’ yang membabitkan semua ketua agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya