13 banduan dapat pengampunan Agong  - Utusan Malaysia

13 banduan dapat pengampunan Agong 

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH - Ihsan Jabatan Penerangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 orang banduan di beberapa penjara negara ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, semua banduan tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Disember 2001 atas pertuduhan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, perkenan Yang di-Pertuan Agong dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Kesemua 13 banduan yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak dari tahun 2001 telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut.

“Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-55 yang bersidang pada 4 September tahun lalu telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan,” katanya semalam.

Susulan daripada mesyuarat ini, Al-Sultan Abdullah dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam Mesyuarat kali ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020 telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut berkuat kuasa Ogos 2020.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka kerana berkelakuan baik untuk kembali kepada pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik.

“Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan baru bersama keluarga tersayang dan masyarakat dengan berfaedah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya