Pertemuan dengan Dr. Zulkifli bantu jawab kemusykilan jemaah haji Malaysia - Utusan Malaysia

Pertemuan dengan Dr. Zulkifli bantu jawab kemusykilan jemaah haji Malaysia

Musthafa Muadz Mohammad Masruh (kanan), Muhammad Uwais Mohd. Rosli (kiri) dan jemaah yang dikenali sebagai Hakeem terpilih menunaikan Haji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kata-kata nasihat dan pedoman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi azimat berharga kepada jemaah haji Malaysia dalam mengerjakan ibadat itu yang bermula hari ini.

Sesi interaksi secara langsung di dalam talian selama kira-kira 45 minit di antara Dr. Zulkifli dan lapan jemaah haji Malaysia turut membantu merungkai kemusykilan para jemaah haji Malaysia mengenai ibadat haji yang dilaksanakan ketika dalam keadaan pandemik Covid-19 itu masih belum reda.

Seorang jemaah haji Malaysia, Musthafa Muadz Mohammad Masruh, 30, berkata, pertemuan yang berlangsung dengan Dr. Zulkifli itu adalah berkat daripada doa semua pihak.

“Banyak hukum-hukum yang menjadi kemusykilan di antara kami telah pun terjawab dengan baik.

“Pertemuan semalam sangat membantu kami dalam urusan ibadat haji. Sifat Dr. Zulkifli yang tawaduk telah pun menegur kami bahawa perjalanan haji ini adalah perjalanan seorang hamba kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Lapan jemaah haji Malaysia sebelum ini telah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan Dr. Zulkifli secara di dalam talian untuk mendengar panduan dan nasihat beliau mengenai ibadat haji.

Semalam, Dr. Zulkifli menunaikan impian mereka dan menyampaikan pesanan serta tazkirah kepada jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini.

Menurut Musthafa Muadz, Dr. Zulkifli juga berpesan kepada para jemaah untuk taat kepada peraturan kerajaan Arab Saudi dalam melaksanakan ibadat haji tahun ini.

“Pesan beliau untuk jemaah taat pada peraturan Kerajaan Saudi walaupun berbeza mazhab fiqh, ini menandakan bahawa beliau berfikiran terbuka,” katanya.

Selain itu, Musthafa Muadz berkata, kiriman salam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disampaikan melalui Dr. Zulkifli juga menggembirakan hati jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, Musthafa Muadz berkata, perjalanan haji bagi kesemua jemaah bermula 4 pagi ini.

“Kami mohon doa daripada semua rakyat Malaysia agar perjalanan haji kami dipermudahkan dan bebas daripada penularan Covid-19.

“Ini kerana terdapat jemaah haji dari Singapura yang tidak dapat menaiki bas bersama-sama kami untuk berniat ihram kerana ujian saringan kali kedua Covid-19 masih belum diterima lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya