Syarat simpanan RM15,000 tunai haji membebankan, perlu dibatalkan - Utusan Malaysia

Syarat simpanan RM15,000 tunai haji membebankan, perlu dibatalkan

TUAN IBRAHIM TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membatalkan cadangan mewajibkan bakal jemaah haji mempunyai simpanan RM15,000 dalam akaun khusus sehingga tiba giliran menunaikan ibadah itu kerana dikhuatiri membebankan umat Islam, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah simpanan itu boleh mencecah RM30,000 bagi pasangan suami isteri yang merancang menunaikan haji bersama-sama.

Beliau berkata, jumlah berkenaan amat besar bagi penduduk kampung dan boleh menyukarkan mereka membuat persediaan kewangan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau dua orang, maknanya RM30,000 kena ada dalam akaun yang tidak boleh disentuh sampai mereka pergi haji. RM30,000 ini bagi orang kampung satu jumlah yang sangat besar.

“Saya nak tanya, apa mekanisme yang dibuat? Apakah ini simpanan atau pelaburan? Sebab Tabung Haji guna duit simpanan ini sebagai pelaburan,” katanya ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Tambah Tuan Ibrahim, sekiranya wang berkenaan digunakan untuk tujuan pelaburan, keuntungan yang diperoleh perlu dikembalikan kepada penyimpan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mencari mekanisme alternatif yang tidak membebankan bakal jemaah, selain membatalkan cadangan berkenaan.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim menyokong langkah mengumumkan giliran bakal jemaah haji lebih awal, sekurang-kurangnya setahun sebelum berangkat, bagi membolehkan mereka membuat persediaan kewangan secukupnya.

Katanya, tempoh persediaan yang lebih panjang dapat membantu bakal jemaah mengumpulkan wang yang diperlukan tanpa perlu mengunci sejumlah besar simpanan lebih awal ketika mereka masih belum mengetahui tarikh sebenar giliran menunaikan haji.

Beliau turut mempersoalkan alasan mengurangkan risiko penolakan tawaran menunaikan haji digunakan bagi menyokong cadangan itu, sambil berpandangan bakal jemaah sepatutnya diberikan kemudahan untuk melaksanakan ibadah berkenaan.

“Kalau kajian meletakkan syarat RM15,000 dalam simpanan, kita sering kali disebut bahawa kalau tidak mampu, tidak ada istitaah, tidak wajib haji.

“Istitaah ini ada dua. Satu istitaah ikhtiariah dan satu istitaah idtirariah. Kalau kerajaan menyusahkan rakyat untuk pergi haji, itu bukan istitaah. Itu bermakna beban yang dibebankan kepada rakyat yang sepatutnya boleh pergi haji, tiba-tiba tidak boleh pergi haji,” katanya.

Menurutnya, Tabung Haji sepatutnya mengutamakan usaha memudahkan umat Islam menunaikan ibadah haji, bukannya memperkenalkan mekanisme yang boleh menambah beban kewangan mereka.

Beliau berkata, peranan asal Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam membuat persediaan menunaikan haji, justeru sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira kemampuan kewangan bakal jemaah.

“Saya fikir perkara ini perlu diberi perhatian supaya rancangan tersebut dapat dibatalkan dan cari mekanisme lain yang tidak membebankan umat Islam, rakyat yang nak pergi haji,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini