SEPANG: Seramai 258 jemaah haji Malaysia daripada kumpulan penerbangan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus menandakan berakhirnya ibadah haji bagi musim 1447H/2026M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kumpulan jemaah itu tiba pada pukul 12.10 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8375), yang berlepas dari Madinah pada 10.14 malam (waktu Arab Saudi) Selasa.
Dr. Zulkifli Hasan berkata, operasi haji tahun ini berlangsung dengan lancar meskipun berdepan pelbagai cabaran susulan konflik di Asia Barat dan ketidaktentuan geopolitik global.
“Alhamdulillah, semua jemaah haji kita selamat pergi dan pulang dengan baik tanpa sebarang peningkatan kos kepada jemaah. Semua urusan berjalan lancar hasil kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar sebelum menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) turut menubuhkan sebuah jawatankuasa khas sejurus menerima maklumat mengenai konflik di Asia Barat bagi memantau serta menangani sebarang isu yang berpotensi menjejaskan operasi haji.
“Jawatankuasa khas ini telah menyediakan pelbagai perancangan dan langkah intervensi bagi memastikan kita sentiasa bersedia mendepani sebarang perubahan dan cabaran. Pendekatan ini akan diteruskan sebagai persediaan menghadapi musim haji akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, TH telah memulakan proses penilaian pasca operasi bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan meskipun pengurusan haji negara menerima pengiktirafan antarabangsa.
Tambah beliau, Muzakarah Haji Kebangsaan akan diadakan pada Ogos depan bagi membincangkan isu-isu berkaitan ibadah haji serta cadangan penambahbaikan bagi musim haji akan datang. – UTUSAN










