Pengantin buat majlis kahwin bajet - Utusan Malaysia

Pengantin buat majlis kahwin bajet

CHLOE dan Connor menganjurkan majlis perkahwinan bajet. - TikTok/@conandchloo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lokasi majlis yang memukau, gaun pereka terkenal dan kek perkahwinan yang mewah selalunya menjadi senarai hajat utama bagi sebilangan besar pasangan pengantin.

Namun bagi Chloe Neal, 23, dan suaminya Connor, 26, merealisasikan majlis perkahwinan impian bersama pasangan hidup tidak memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.

Pasangan raja sehari itu berjaya menganjurkan majlis perkahwinan impian mereka dengan bajet kurang daripada £1,000 (RM5,514).

Memuatkan artikel berkaitan…

Chloe yang berkhidmat sebagai jururawat pergigian, bersama Connor yang merupakan anggota tentera, melangsungkan majlis perkahwinan mereka di Dewan Bandar Raya Ipswich pada 6 April 2024, dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar £990 (RM5,459).

Kos majlis perkahwinan mereka hanya didedahkan baru-baru ini.

Berbanding membelanjakan wang untuk kelengkapan sampingan perkahwinan tradisional, mereka menumpukan belanjawan kepada perkara yang benar-benar diperlukan sahaja.

Mereka turut mengendalikan sendiri hiasan majlis berbanding membayar perkhidmatan pihak luar bagi menguruskan semua persiapan berkenaan.

“Ia bukanlah sebuah majlis yang besar dan kami memang tidak berhasrat untuk membelanjakan ribuan pound untuk acara sehari. 

“Kami mempunyai sasaran bajet sendiri dan mahu berkahwin dalam tempoh yang singkat,” kata pasangan itu.

Kos keseluruhan majlis pasangan berkenaan mencecah sekitar £990 (RM5,459).

Perbelanjaan terbesar diperuntukkan bagi upacara pendaftaran perkahwinan berharga £400 (RM2,205) dan £320 (RM1,764) untuk cincin perkahwinan mereka.

Cincin itu dibeli secara terpakai daripada kedai barangan kemas Mallard di Nottingham. 

Kek perkahwinan diperolehi dari pasar raya M&S pada harga hanya £40 (RM221), selain membelanjakan kira-kira £70 (RM386) untuk barangan hiasan yang dibeli menerusi platform Amazon. 

“Bagi majlis resepsi, kami memilih restoran Arlington’s di Ipswich. 

“Kos keseluruhan makanan adalah sekitar £1,000 tetapi disebabkan ia merupakan perancangan saat-saat akhir dan kami telah bersikap terbuka dengan para tetamu terlebih dahulu, mereka berbesar hati untuk membayar hidangan masing-masing,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×