PUTRAJAYA: Warga asing dikesan menggunakan taktik baharu dengan mengahwini wanita tempatan berusia atau balu bagi membolehkan kenderaan didaftarkan menggunakan nama pasangan mereka.
Taktik itu dipercayai digunakan bagi memudahkan warga asing memiliki atau menggunakan kenderaan di negara ini dengan memanfaatkan status pasangan warga tempatan.
Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, warga asing ini mula menjanjikan untuk mengahwini rakyat Malaysia dan gunakan nama pasangan itu untuk tujuan daftarkan pada kenderaan.
“Ini modus operandi bahaya kerana mereka memberi janji manis agar rakyat kita membenarkan kenderaan digunakan.
“Mereka (warga asing) sasarkan wanita berusia 60 tahun ke atas terdiri daripada ibu tunggal, balu atau wanita tidak berlahwin. Tetapi dengan syarat nama pasangan ini digunakan. Ada yang berkahwin dan guna (nama) semata-semata,” katanya ketika ditemui ketika Program Advanced Leadership and Management Program (ALMP) Siri 89 Bil 4/2026 di Lapang Sasar Shapadu, Presint 20, di sini hari ini.
Katanya, JPJ mengeluarkan 523,035 notis saman menerusi operasi penguatkuasaan pemandu warga asing (Pewa) bagi tempoh sejak tahun 2024 hingga 15 Oktober lalu.
Katanya, sebanyak 183,300 saman dikeluarkan pada 2024 diikuti tahun 2025 (191,676 saman) dan 2026 (148,059 saman)
“Kita akan melipatgandakan penguatkuasaan Pewa dan tindakan drastik dilaksanakan mulai Julai lalu seperti mana arahan Ketua Pengarah JPJ.
‘Mana-mana kesalahan pemandu warga asing akan diambil tindakan saman terhadap pemandu dan pemilik selain kita tidak lagi benarkan tawaran kompaun.
“Dengan maksud lain, kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah. Ini untuk gambarkan keseriusan kita kerana kita kenakan tindakan ke atas pemandu dan pemilik,” jelasnya.
Tegasnya, bagi memastikan pemandu warga asing tidak berleluasa, JPJ memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk tidak benarkan kenderaan milik mereka disewa warga asing.
“Jika rakyat kita tidak benarkan, pemandu asing ini tidak boleh memandu di jalan raya,” katanya. – UTUSAN











