WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah menemukan siri lubang misteri yang terbentuk pada permukaan planet Marikh.
Kumpulan penyelidik mengesan struktur pelik itu semasa kenderaan penjelajah Curiosity membuat perjalanan perlahan merentasi Valle Grande, sebuah lembah luas yang merentasi kawasan Mount Sharp di planet berkenaan.
Para saintis memaklumkan bahawa mereka masih tidak mempunyai jawapan bagaimana lubang-lubang khusus ini boleh terbentuk.
Lubang-lubang yang bertaburan di atas batuan asas Valle Grande itu bersaiz lebar dan amat berbeza berbanding apa jua struktur yang pernah dilihat sebelum ini.
Timbalan Penyelidik Utama Mars Hand Lens Imager (MAHLI), Dr. Michelle Minitti menerusi satu hantaran blog menyatakan bahawa Marikh terus memberikan kejutan selepas 14 tahun kenderaan penjelajah Curiosity beroperasi di permukaan planet itu.
“Penemuan ini merupakan satu teka-teki baharu yang dialu-alukan dalam memahami proses yang telah mempengaruhi bahagian batuan khusus ini.
“Lubang-lubang ditemukan minggu ini jauh lebih luas dan cetek berbanding kesan dijumpai sebelum ini dan tidak disertai objek jelas yang pernah berada di dalam lubang berkenaan,” kata Minitti
Sama ada di bumi mahupun di Marikh, lubang-lubang kecil yang terhakis pada batuan asas merupakan penemuan agak biasa. Struktur sedemikian biasanya terbentuk apabila batu kecil yang keras atau serakan bahan asing tersangkut di dalam lapisan batuan yang lebih lembut.
Bagaimanapun, para saintis NASA buntu apabila mereka tidak menemui sebarang tanda biasa daripada proses fizikal yang lazim itu.
Kenderaan penjelajah Curiosity telah diarah untuk menggunakan Mars Hand MAHLI bagi merakam gambar lubang-lubang berkenaan dari jarak dekat.
Menerusi masa yang sama, kamera Mastcam mengambil siri gambar bertindih bagi kawasan rupa bumi di sekelilingnya.
Hasil gabungan gambar-gambar itu akan membolehkan para saintis menghasilkan peta tiga dimensi lengkap bagi kawah berkenaan, sekali gus mengukur bentuk serta kedalaman struktur misteri tersebut.
Kawah Gale di planet itu dipercayai terbentuk kira-kira tiga bilion tahun lalu apabila asteroid gergasi menghentam permukaan Marikh.
Sementara itu, di tengah-tengahnya terletak Gunung Sharp, yang setinggi kira-kira 5.5 kilometer dari dasar Kawah Gale. – AGENSI










