TEHERAN: Sebuah rakaman video yang menunjukkan objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang di ruang udara Iran pada Ahad lalu. Ia menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa objek itu bukannya buatan manusia.
Video berkenaan dirakam oleh seorang saksi di Lebuh Raya Azadegan, Teheran kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan yang dikongsikan di platform Twitter yang turut dikenali sebagai X.
Ia memaparkan objek bersaiz besar berbentuk bulan sabit yang disinari cahaya berwarna-warni.
“Saya benar-benar tidak tahu apa objek itu, tetapi ia berada berhampiran awan, mempunyai lampu khas dan terapung di angkasa tanpa sebarang bunyi!” kata saksi yang memperkenalkan dirinya sebagai Ali Sedaghati.
Beberapa pihak menduga bahawa ia kemungkinan sebuah dron yang terbang di ruang udara ibu negara Iran yang ketika ini masih berada dalam kancah konflik ketenteraan yang memasuki bulan ketujuh bersama Amerika Syarikat (AS).
Sedaghati memberitahu bahawa objek tersebut berukuran hampir sebesar sebuah pesawat besar sambil menegaskan ia bukan buatan manusia.
Saksi hanya sempat merakam kejadian itu selama lebih kurang 20 saat. Beliau menambah, apabila cuba merakam semula video kira-kira 10 minit kemudian, objek berkenaan telah pun hilang dari pandangan.
Video yang kini telah ditonton lebih 5.2 juta kali sehingga Isnin menyaksikan ramai netizen percaya UFO tersebut hanyalah sebuah dron canggih. Menurut mereka, UFO yang asli tidak akan mempunyai pencahayaan yang berwarna-warni.
Sebilangan netizen lain berpendapat video itu merakamkan peralatan pengawasan ketenteraan tahap tinggi, manakala pihak berkuasa Iran masih belum memberi sebarang jawapan atau mengenal pasti objek tersebut.
Walaupun sesetengah pihak yakin lampu itu menjadi bukti kewujudan hidupan luar angkasa (makhluk asing), kerajaan AS tetap berpendirian bahawa tiada sebarang bukti pernah ditemui yang mengesahkan kewujudan UFO. – AGENSI











