Imej batuan Marikh cetus spekulasi peradaban Marikh - Utusan Malaysia

Imej batuan Marikh cetus spekulasi peradaban Marikh

IMEJ yang disiarkan di laman UFO Sightings Daily. - UFO Sightings Daily
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekeping imej yang dirakam kamera kenderaan penjelajah robotik  telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan pemerhati yang percaya rakaman itu merupakan bukti kewujudan peradaban asing yang telah lenyap.

Kenderaan penjelajah robotik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Perseverance itu kini giat menjalankan misi mencari tanda-tanda hidupan purba di Planet Merah. 

Pengkaji fenomena Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), Scott C. Waring memuat naik foto berkenaan yang memaparkan pandangan landskap Marikh dipenuhi dengan batu-batu besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di kawasan latar belakang foto tersebut, Waring mendakwa ternampak satu formasi batuan yang dipercayai sebagai sebuah pintu gerbang purba tinggalkan peradaban silam.

Sambil berkongsi pandangan jarak dekat lokasi berkenaan, beliau membuat bulatan pada struktur menyerupai pintu tinggi berukuran sempit pada permukaan batu berliku, lengkap dengan bahagian tengah yang gelap dan bahagian atas yang memirus.

“Saya menemukan beberapa runtuhan purba dalam foto Marikh hari ini,” kata Waring menerusi laman web miliknya, UFO Sightings Daily.

Beliau turut mendakwa menemui satu lagi formasi yang disifatkan menyokong teorinya berhubung kewujudan peradaban di Marikh.

Meskipun formasi batuan berkenaan secara visual kelihatan menyerupai struktur yang didakwa Waring, pihak NASA sejak sekian lama menegaskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh mengenai kewujudan hidupan luar angkasa.

Imej mozek berkenaan sebenarnya menunjukkan kawasan batu-batan di dalam Kawah Jezero yang diterokai oleh Perseverance pada Jun 2021 menggunakan kamera Mastcam-Z.

Foto berkenaan dirakam pada Sol 107, iaitu merujuk kepada hari ke-107 misi penjelajahan robotik berkenaan di Marikh.

Kawah Jezero dipercayai pernah menampung sebuah tasik berbilion tahun lalu, menjadikannya lokasi keutamaan dalam usaha mencari tanda-tanda hidupan mikrob purba.

Laman web UFO Sightings Daily kendalian Waring kerap memaparkan siri imej NASA yang didakwanya sebagai bukti kewujudan hidupan makhluk asing.

Pada Ogos lalu, beliau turut memuat naik foto yang dirakam penjelajah Curiosity pada Mei 2022, yang mana beliau dan ramai pengikutnya yakin memaparkan struktur menyerupai pintu masuk. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini