WASHINGTON: Tentera Darat Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan kontrak bernilai sehingga AS$58.6 bilion (RM239.77 bilion) kepada firma Lockheed Martin untuk menghasilkan peluru berpandu pemintas Patriot.
Kontrak itu dianugerahkan ketika konflik di Iran dan Ukraine terus memberi tekanan terhadap stok simpanan senjata negara itu.
Pentagon turut memberikan kontrak awal bernilai AS$35 bilion (RM143.2 bilion) kepada syarikat itu bagi menghasilkan peluru berpandu pemintas bagi Sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD). Ia direka untuk memintas ancaman peluru berpandu balistik.
AS sebelum ini membekalkan sejumlah besar senjata kepada sekutunya selain menggunakan pelbagai jenis peluru dalam operasi ketenteraan di Iran.
Namun, ia sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap inventori sistem pertahanan udara dan senjata berpanduan tepat yang kritikal.
Menurut Pentagon, kontrak baharu itu menggantikan perjanjian setahun bernilai AS$4.7 billion (RM19.23 bilion) yang diberikan kepada Lockheed Martin pada April lalu menerusi draf perjanjian selama tujuh tahun.
Tentera Darat AS berkata, perjanjian itu mewujudkan pelan perolehan berbilang tahun bagi peluru berpandu pemintas Patriot untuk tahun fiskal 2026 hingga 2032.
Pada masa sama, perunding Pentagon sedang mendesak syarikat kontraktor pertahanan mempercepatkan kadar pengeluaran, dengan beberapa perjanjian awal yang dimeterai tahun ini menjadi teras usaha meningkatkan pengeluaran peluru berpandu.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump juga terus meningkatkan tekanan terhadap kontraktor pertahanan supaya mengutamakan pengeluaran berbanding pembayaran keuntungan kepada pemegang saham.
Trump pada Januari lalu menandatangani perintah eksekutif bagi mengenal pasti kontraktor yang disifatkan gagal memenuhi prestasi kontrak kerajaan walaupun terus mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham.
Pengurusan syarikat dalam industri pertahanan menyambut baik perjanjian pengeluaran itu.
Bagaimanapun, ia menegaskan Kongres perlu terlebih dahulu meluluskan peruntukan kewangan sebelum syarikat dapat melabur dengan lebih besar dalam komponen dan kapasiti pengeluaran.
Bagaimanapun, syarat terperinci dan jadual penghantaran bagi kebanyakan kontrak peluru berpandu Pentagon masih dalam rundingan.
Satu lagi perjanjian turut dimeterai dengan RTX, syarikat induk Raytheon bagi meningkatkan pengeluaran peluru berpandu Tomahawk daripada kira-kira 60 unit setahun ketika ini kepada 1,000 unit setahun pada masa hadapan.
Lockheed Martin yang berpangkalan di Bethesda, Maryland berkata, pembiayaan itu membolehkan syarikat memenuhi sasaran untuk menggandakan tiga kali ganda kapasiti pengeluaran peluru berpandu pemintas PAC-3 MSE menjelang akhir 2030. – AGENSI










