Fail Pentagon dedah saksi akui lihat mayat makhluk asing - Utusan Malaysia

Fail Pentagon dedah saksi akui lihat mayat makhluk asing

SERPIHAN piring terbang ditermukan di Rosell, New Mexico. - The History Channel
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dokumen baharu yang dikeluarkan Pentagon mendedahkan pengakuan menggemparkan berhubung penemuan mayat bukan manusia dan bangkai kapal angkasa dalam insiden ter­kenal di Roswell, New Mexico pada 1947.

Saksi utama yang dipercayai Pegawai Maklumat Awam Pangkalan Tentera Udara Roswell, Walter G Haut mendedahkan, beliau dibawa melihat mayat-mayat tersebut yang disimpan di bawah kain tarpaulin di dalam sebuah hangar khas berhawa dingin, Building 84.

Menerusi dokumen berkanun yang dirahsiakan Pentagon sejak 2002, saksi memperincikan bahawa mayat bukan manusia itu mempunyai fizikal kerdil berketinggian kira-kira 1.2 meter, bersamaan saiz seorang kanak-kanak berusia 10 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut menyatakan bahawa bahagian kepala mayat terbabit kelihatan jauh lebih besar daripada saiz manusia biasa.  Bentuk kontur kepala makhluk itu dianggap amat luar biasa.

“Dari jarak tertentu, saya dapat melihat sepasang mayat di bawah kain tarpaulin. Hanya bahagian kepala yang terunjur keluar dari penutup berkenaan.

“Saya yakin bahawa apa yang saya lihat secara peribadi adalah sejenis kapal angkasa dan anak kapal (datang) dari luar angkasa,” menurut kenyataan saksi yang terkandung dalam fail rasmi tersebut. Beliau menegaskan keyakinannya bahawa makhluk yang ditemui itu bukan berasal dari Bumi.

Selain mayat, fail deklasifikasi itu turut mendedahkan penemuan kapal berbentuk bujur telur sepanjang 3.6 hingga 4.57 meter yang diperbuat daripada logam nipis seumpama kertas tetapi amat teguh.

Menurut dokumen berke­naan, pihak tentera menemukan tapak penemuan utama di utara Roswell yang menempatkan bangkai kapal dan mayat-mayat tersebut secara berasi­ngan daripada tapak serpihan awal.

Pihak tentera kemudian didakwa sengaja mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai ‘pi­ring terbang’ di tapak sekunder bagi mengalih perhatian awam dan media daripada lokasi pe­nemuan mayat.

Fail itu mengesahkan kewujudan rumah mayat sementara di pangkalan Roswell untuk menguruskannya. Namun, dokumen itu tidak mendedahkan di mana mayat terbabit dipindahkan selepas insiden ber­kenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini