Rawatan Fotona 4D serlah wajah kekal muda tanpa pembedahan

Rawatan Fotona 4D serlah wajah kekal muda tanpa pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia kecantikan yang semakin berkembang, usia bukan lagi satu-satunya penentu penampilan seseorang. Garis halus, kedutan dan kulit yang mula kendur boleh membuatkan wajah kelihatan letih, walaupun tubuh masih cergas dan bertenaga.

Bagi wanita yang mahu mengekalkan penampilan muda dan segar tanpa melalui prosedur pembedahan, perkembangan teknologi estetik moden kini menawarkan pelbagai pilihan rawatan, antaranya Fotona 4D Laser.

Rawatan berasaskan teknologi laser ini semakin mendapat perhatian kerana direka untuk membantu meremajakan kulit wajah, memperbaiki tekstur kulit serta memberikan penampilan yang lebih tegang dan berseri tanpa memerlukan suntikan atau pembedahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya, Fotona 4D bukan sekadar memberi tumpuan kepada permukaan kulit, sebaliknya menggunakan pendekatan rawatan berperingkat yang menyasarkan lapisan kulit dan tisu lebih dalam bagi merangsang penghasilan kolagen semula jadi.

Kolagen ialah protein penting yang membantu mengekalkan struktur, keanjalan dan ketegangan kulit. Apabila usia meningkat, penghasilan kolagen secara semula jadi berkurangan, sekali gus menyumbang kepada kemunculan garis halus, kedutan dan kulit yang semakin kendur.

Di sinilah teknologi laser seperti Fotona 4D berperanan sebagai salah satu pilihan bagi mereka yang mahu menangani tanda penuaan dengan pendekatan bukan pembedahan.

Berbeza daripada rawatan yang hanya memfokuskan satu masalah kulit, Fotona 4D menggabungkan empat pendekatan rawatan dalam satu rangkaian prosedur bagi membantu memperbaiki penampilan wajah secara menyeluruh.

Menurut Pakar Perubatan Estetik dan Keluarga di Toscana Medi Clinic di Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, Dr. Lashela Dharmadass, langkah pertama adalah teknik SmoothLiftin™, menggunakan laser pada bahagian dalam mulut untuk memanaskan tisu sasaran dan membantu merangsang pembentukan kolagen, khususnya bagi menyokong penampilan kawasan pipi dan lipatan nasolabial, iaitu garis dari sisi hidung ke sudut mulut.

Seterusnya, FRAC3® memberi tumpuan kepada ketidaksempurnaan kulit tertentu, termasuk tekstur tidak sekata, liang pori yang ketara dan sesetengah masalah pigmentasi. Pendekatan ini membantu memperbaiki penampilan permukaan kulit agar kelihatan lebih sekata.

Langkah ketiga ialah PIANO®, yang menggunakan pemanasan laser secara mendalam dan terkawal untuk membantu menegangkan tisu kulit. Ia bertujuan menyokong kesan penegangan tanpa perlu melalui prosedur mengangkat wajah secara pembedahan.

Akhir sekali, SupErficial™ memberikan pengelupasan ringan pada permukaan kulit bagi membantu menyingkirkan sel kulit mati, sekali gus menjadikan kulit terasa lebih licin dan kelihatan lebih berseri.

“Gabungan empat langkah ini menjadikan Fotona 4D satu pendekatan peremajaan wajah yang menyasarkan beberapa aspek penuaan kulit dalam satu pelan rawatan,” katanya.

Bukan sekadar cantik

Bagi wanita yang mula menyedari perubahan pada wajah apabila usia meningkat, rawatan seperti ini boleh menjadi pilihan untuk dipertimbangkan, khususnya bagi mereka yang mahu memperbaiki penampilan tanpa pembedahan.

Dr. Lashela berkata, antara perubahan yang ingin dicapai termasuk kulit yang kelihatan lebih tegang, garis halus yang kurang ketara, tekstur lebih licin serta kontur wajah yang kelihatan lebih kemas.

Namun, katanya, hasil rawatan tidak semestinya sama bagi setiap individu. Keadaan kulit, tahap penuaan, gaya hidup dan tindak balas tubuh terhadap rawatan memainkan peranan dalam menentukan perubahan yang boleh dicapai.

Jelasnya, pendekatan perubatan estetik perlu mengambil kira keperluan serta keadaan setiap pesakit bagi memastikan rawatan yang dipilih bersesuaian.

“Pendekatan rawatan yang diperibadikan penting kerana tidak semua individu memerlukan prosedur yang sama. Ada yang lebih memerlukan perhatian terhadap tekstur kulit dan pigmentasi, manakala yang lain mungkin ingin menangani masalah kulit kendur atau garis halus.

“Oleh itu, pemeriksaan dan konsultasi bersama doktor terlatih perlu menjadi langkah pertama sebelum menjalani sebarang rawatan estetik,” katanya

Secara umumnya, satu sesi Fotona 4D mengambil masa sekitar 45 hingga 90 minit, bergantung pada pelan rawatan dan keadaan kulit individu.

Bagi sesetengah pesakit, satu siri rawatan yang terdiri daripada tiga hingga lima sesi mungkin dicadangkan. Bagaimanapun, bilangan sesi sebenar perlu ditentukan oleh doktor berdasarkan penilaian klinikal dan respons kulit terhadap rawatan.

Dari segi keselesaan, pesakit mungkin merasakan haba atau ketidakselesaan ringan ketika prosedur dilakukan. Walaupun rawatan ini lazimnya tidak memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, kemerahan, bengkak atau kesan sampingan sementara masih boleh berlaku.

Hasilnya juga tidak semestinya kelihatan serta-merta. Perubahan pada kulit, termasuk kesan yang berkaitan dengan pembentukan kolagen, boleh berkembang secara beransur-ansur dalam tempoh selepas rawatan.

Justeru, wanita yang mempertimbangkan Fotona 4D perlu mempunyai jangkaan yang realistik dan memahami bahawa rawatan laser bukan pengganti kepada pembedahan bagi mereka yang memerlukan pembetulan kulit kendur yang ketara.

Usia meningkat, seri tetap terserlah

Penjagaan kecantikan moden bukan semata-mata tentang menghapuskan setiap garis pada wajah atau mengejar penampilan yang terlalu sempurna. Sebaliknya, ia turut melibatkan usaha menjaga kesihatan kulit agar wajah kelihatan segar, terurus dan mencerminkan kesejahteraan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini