BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir mengetuai ratusan penganut Yahudi Israel memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis pada Khamis.
Tindakan itu sekali gus melanggar status quo yang telah sekian lama mengawal pengurusan tapak suci itu sempena hari perkabungan Yahudi.
Kunjungan itu bertepatan dengan Tisha B’Av, hari berpuasa dalam kalendar Yahudi bagi memperingati kemusnahan Kuil Pertama dan Kuil Kedua, yang tahun ini disambut bermula malam Rabu hingga Khamis.
Rakaman AFP menunjukkan Ben Gvir bersama ratusan penganut lain berada di pekarangan Masjid Al-Aqsa, termasuk peneroka haram Yahudi yang beratur sejak awal pagi untuk memasuki kawasan itu, dengan ramai daripada mereka dilihat melakukan doa.
“Lihat apa yang sedang berlaku di sini. Orang Yahudi sedang berdoa dan merasakan bahawa mereka adalah pemilik sebenar tempat ini,” kata Ben Gvir dalam rakaman video yang dirakam di pekarangan itu dan dimuat naik ke saluran Telegram miliknya.
Media Israel melaporkan bahawa pihak polis membenarkan lebih 1,000 warga Israel untuk berdoa di tapak itu pada Khamis.
Walaupun golongan bukan Islam dibenarkan melawat tapak suci ketiga umat Islam itu, mereka dilarang sama sekali untuk melakukan sebarang bentuk ibadat berdasarkan perjanjian status quo tahun 1967.
Pihak pentadbiran wilayah Baitulmuqaddis menyifatkan tindakan Ben Gvir sebagai satu provokasi dan ketegangan yang berbahaya,
Menyokong kebimbangan tersebut, Kementerian Luar Palestin turut mengecam tindakan itu yang disifatkan sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas memberi amaran bahawa tindakan pencerobohan melampau ini akan membawa padah kepada rejim Zionis dan para peneroka haramnya.
Sementara itu, Kementerian Luar Jordan mengecam keras kunjungan Ben Gvir dengan menyifatkannya sebagai satu pencemaran terhadap kesucian masjid, tindakan biadab dan provokasi yang tidak boleh diterima sama sekali. – AGENSI










