WASHINGTON: Agensi perisikan Israel percaya Iran memindahkan ribuan nuklear mereka ke sistem terowong jauh di bawah tanah Gunung Pickaxe dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk menyerang lokasi itu.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa, Teheran memindahkan ribuan emparan pengayaan uranium ke Gunung Pickaxe, yang turut dikenali sebagai Gunung Kolang di Iran pada musim luruh tahun lalu selepas perang selama 12 hari pada Jun tahun lalu.
Perang itu tercetus apabila tentera AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak utama nuklear Iran.
Perisikan Israel mendakwa bahan berkaitan nuklear itu dipindahkan ke sistem terowong jauh di bawah tanah gunung itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan AS dan Israel,
Washington dan Israel bimbang Iran berupaya membangunkan semula program nuklearnya, meskipun Teheran sedang mengadakan rundingan mengenai perjanjian senjata nuklear.
Menurut WSJ, apabila matlamat perang rejim Zionis semakin berbeza daripada keutamaan AS, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba memujuk Trump supaya menyambung semula serangan besar-besaran terhadap Iran bagi terus melemahkan program persenjataan dan usaha pembinaan semula negara itu.
AS turut meningkatkan serangan sejak 11 hari lalu, manakala Trump dilaporkan berkata tenteranya bersedia untuk menyerang Gunung Pickaxe.
Presiden AS itu memberitahu wartawan pada Selasa bahawa beliau mengetahui laporan mengenai pemindahan emparan tersebut dan berkata Amerika akan menyerang kawasan itu tidak lama lagi dan dengan kekuatan yang sangat besar.
Gunung Pickaxe telah dipantau oleh AS dan Israel selama bertahun-tahun. Menurut WSJ, maklumat terhad mengenai aktiviti Iran di lokasi itu menunjukkan sebarang serangan udara terhadap kemudahan tersebut akan berdepan cabaran besar.
Gunung Pickaxe terletak berhampiran salah satu kemudahan utama nuklear Iran . Ia dibangunkan sebagai pengganti kepada kemudahan pemasangan emparan Iran yang rosak teruk akibat satu letupan pada 2020.
Pakar menganggarkan kompleks bawah tanah di bawah tanah Gunung Pickaxe berada pada kedalaman antara 91 meter (m) hingga 127m di bawah lapisan batu pejal, dengan ruang yang mencukupi untuk menempatkan beberapa kemudahan berkaitan nuklear.
Bagaimanapun, laporan WSJ menyatakan penempatan emparan di Gunung Pickaxe selepas serangan udara pada Jun 2025 tidak semestinya bermakna Iran sedang membina tapak pengayaan uranium di situ.
Sebaliknya, Teheran mungkin hanya memindahkan emparan yang masih berfungsi ke lokasi tersebut bagi mengurangkan risiko ia dimusnahkan.
Laporan itu turut menyatakan tidak jelas dari mana datangnya emparan yang didakwa Israel telah dipindahkan ke terowong bawah tanah Gunung Pickaxe. Ia berkemungkinan terdapat emparan simpanan di beberapa tapak utama nuklear Iran.
Iran juga tidak memberikan akses kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke lokasi itu dan tidak mengemukakan sebarang maklumat mengenai aktiviti atau perancangannya di situ sejak 2021.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan IAEA belum memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan berhubung laporan terbaharu mengenai pemindahan emparan nuklear tersebut.
Sementara itu, Tentera Jordan berkata, pihaknya berjaya memintas empat peluru berpandu Iran pada Rabu dan memaklumkan bahawa dua lagi terhempas di kawasan lapang ketika Teheran meneruskan serangannya di seluruh rantau itu.
“Dua sistem pertahanan udara hari ini mengesan enam peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Iran,” menurut kenyataan tentera Jordan.
Kenyataan itu menambah bahawa pihaknya berjaya memintas dan menembak jatuh empat peluru berpandu, manakala dua lagi terhempas di dua kawasan terpencil yang tidak berpenghuni, tanpa mengakibatkan sebarang korban jiwa atau kerosakan harta benda.– AGENSI/AFP










