KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan berkait tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
Permohonan itu menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi berkata, bantahan itu dibuat memandangkan keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah bersifat tidak boleh dicabar di mahkamah (non-justiciable).
Katanya, pihak AGC juga memerlukan masa untuk meneliti permohonan berkenaan sebelum memfailkan hujahan bertulis bagi mengemukakan bantahan secara teratur.
“Sudah tentu, Peguam Negara membantah permohonan kebenaran ini kerana keputusan yang dipertikaikan berhubung keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan. Itu adalah pendirian yang akan kami ambil.
“Kami baru menerima permohonan ini dua hari lalu, jadi kami memerlukan masa untuk memfailkan hujahan bertulis. Kami juga perlu meneliti permohonan ini terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib turut memohon untuk memfailkan hujahan kerana sebarang keputusan mahkamah kelak akan memberi kesan kepada status tahanan rumah yang sedang dijalani Najib.
Sementara itu, Badan Peguam yang diwakili peguam, Zainur Zakaria tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.
Mendengar perkara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, S. Indra Nehru kemudian menetapkan 17 Mac ini sebagai tarikh pendengaran bagi permohonan berkenaan.
Pada 10 November lalu, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Ia selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Tahanan di rumah tersebut selepas Najib, 73, membayar denda RM50 juta susulan pengampunan bersyarat berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Pembayaran itu sekali gus melengkapkan syarat utama seperti ditetapkan dalam pengampunan bersyarat oleh Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib beralih daripada Penjara Kajang kepada tahanan di rumah.
HABIS










